Skip to main content

Teknologi

Pengguna Waze kini boleh lapor kemalangan, trafik guna suara

Sumber: AMANZ
Kemudahan itu menaik taraf sistem sedia ada yang sebelum ini memerlukan pemandu menekan ikon pada skrin peranti secara manual bagi berkongsi maklumat trafik. -Foto Amanz

APLIKASI navigasi Waze memperkenalkan ciri baharu yang membolehkan pengguna di Malaysia melaporkan insiden jalan raya menggunakan input suara.

Kemudahan itu menaik taraf sistem sedia ada yang sebelum ini memerlukan pemandu menekan ikon pada skrin peranti secara manual bagi berkongsi maklumat trafik, lapor Amanz.

Melalui kemas kini terbaharu, pengguna hanya perlu mengaktifkan fungsi laporan suara untuk menerangkan situasi di hadapan mereka, termasuk kemalangan, kesesakan luar biasa atau objek berbahaya di jalan raya, sebelum dikongsi dengan pemandu lain.

Pendekatan itu bukan sahaja memudahkan perkongsian maklumat masa sebenar, malah meningkatkan keselamatan kerana pemandu tidak perlu mengalihkan pandangan atau menyentuh skrin telefon pintar ketika memandu.

Ciri berasaskan kecerdasan buatan dan pengecaman suara itu diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna di Malaysia bermula bulan ini.

Pembangun Waze menyasarkan fungsi berkenaan akan tersedia sepenuhnya kepada semua pengguna di negara ini dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas fasa ujian awal selesai.

Selain Waze yang dimiliki Google, pasaran aplikasi navigasi di Malaysia turut menyaksikan kehadiran aplikasi tempatan seperti Tuju yang menawarkan fungsi pemetaan digital untuk pemandu domestik.

 

Must Watch Video

Advertisement