Skip to main content

Dunia

Ben-Gvir kecam perjanjian Lubnan, dakwa beri ‘talian hayat’ kepada Hezbollah

81717288807_itamarbengvir.jpg
Ben-Gvir (foto) berkata perjanjian tersebut merupakan kegagalan memanfaatkan peluang yang ada dan boleh menjadi duluan buruk kepada generasi akan datang. -Gambar fail

BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir, mengecam perjanjian rangka kerja dengan Lubnan dan menyifatkannya sebagai kesilapan besar yang memberi talian hayat kepada Hezbollah.

Ben-Gvir berkata perjanjian tersebut merupakan kegagalan memanfaatkan peluang yang ada dan boleh menjadi duluan buruk kepada generasi akan datang.

Menerusi hantaran di platform X, Ben-Gvir berkata dia telah menghubungi Perdana Menteri Israel bagi mendesak satu undian segera diadakan di peringkat kabinet keselamatan untuk menentang penguatkuasaan memorandum berkenaan.

 

 

“Perjanjian dengan Lubnan ialah satu kesilapan besar. Saya telah menghubungi Perdana Menteri malam ini untuk meminta pengundian dibuat dalam kabinet, dan saya telah menentang perjanjian ini selama beberapa minggu," tulisnya dalam hantaran di X.

Ben-Gvir berkata perjanjian itu tidak akan membawa kepada pelucutan senjata Hezbollah walaupun Israel masih mengekalkan kehadiran di sebahagian wilayah buat masa ini.

“Memang benar kita kekal di sebahagian besar wilayah buat masa ini, tetapi negara Lubnan tidak akan melucutkan senjata Hezbollah.

“Hanya anggota tentera Israel (IDF) yang akan memusnahkan Hezbollah. Tiada pihak lain yang akan melakukannya,” katanya yang turut mempersoalkan keupayaan pentadbiran Beirut dengan mendakwa terdapat wakil Hezbollah dalam kerajaan negara itu.

Ben-Gvir menegaskan bahawa tindakan ketenteraan lebih tegas perlu diambil dan bukannya memberi ruang kepada kumpulan itu menyusun semula kekuatan melalui gencatan senjata.

Menurutnya, tentera Lubnan juga tidak berupaya mengekang pengaruh Hezbollah, malah didakwa telah disusupi unsur yang mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.

Ben-Gvir berkata dia telah menyuarakan bantahan terhadap perjanjian itu dalam mesyuarat kabinet sebelum ini dan akan terus menentang pelaksanaannya.

Must Watch Video

Advertisement