CYBERJAYA: Kerajaan terus komited memperkasa golongan lelaki menerusi penubuhan Jaringan Pemerkasaan Lelaki (MEN) sebagai platform strategik bagi melahirkan ketua keluarga yang bertanggungjawab, berdaya tahan serta berupaya membina institusi keluarga yang kukuh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata inisiatif diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menghimpunkan kepakaran 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan menjadi penggerak utama pelaksanaan program kebapaan secara holistik dan berterusan.
Beliau berkata, menerusi lima inisiatif utama MEN, pelbagai latihan termasuk pengurusan konflik dan kesihatan mental yang mesra komuniti lelaki akan diperkenalkan bagi membantu golongan itu berdepan cabaran kehidupan, di samping menepis stigma bahawa mendapatkan bantuan ketika mengalami tekanan hidup adalah sesuatu yang memalukan.
"Melalui pendekatan whole-of-nation, kementerian komited melahirkan ketua keluarga yang bertanggungjawab, mempunyai emosi yang sihat serta mampu memimpin keluarga dengan bijaksana dan prihatin," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying, pada Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 bertemakan 'Sehebat Kasih Bapa' di sini, pada Ahad.
Fadillah berkata, peranan bapa yang kukuh dan berfungsi dengan baik mampu menjadi benteng perlindungan pertama dalam mencegah penglibatan anak-anak dalam gejala sosial, penyalahgunaan dadah serta keciciran nilai.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha memperkasa keibubapaan, khususnya meningkatkan penglibatan golongan bapa dalam pembesaran dan pendidikan anak perlu terus diberi perhatian sebagai antara agenda penting negara.
"Langkah ini mampu membantu melahirkan institusi keluarga yang lebih kukuh, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera dan harmoni.
"Penekanan terhadap peranan bapa juga penting bagi memastikan generasi akan datang dibesarkan dalam persekitaran yang stabil, selamat serta berteraskan nilai murni," katanya.