Skip to main content

Dunia

HRF gesa AS siasat Ben-Gvir atas dakwaan jenayah perang, hasutan genosid

71737088151_ItamarBenGvir.jpg
Permohonan berkenaan difailkan secara rasmi menjelang jangkaan lawatan kerja Ben-Gvir (foto) ke Bandar Raya New York pada awal Julai ini. -Gambar fail

WASHINGTON: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bagi mendesak pendakwaan jenayah dilakukan terhadap Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir.

Tuntutan undang-undang itu dibuat Yayasan Hind Rajab (HRF) atas dakwaan penglibatan langsung Ben-Gvir dalam jenayah perang, tindakan genosid, serta hasutan secara terang-terangan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Permohonan berkenaan difailkan secara rasmi menjelang jangkaan lawatan kerja Ben-Gvir ke Bandar Raya New York pada awal Julai ini.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan, yayasan berkenaan menegaskan bahawa pentadbiran Washington mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang yang besar untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya menteri berkenaan menjejakkan kaki ke negara itu.

"Sistem perundangan AS mesti digunakan untuk memastikan penjenayah perang seperti Ben-Gvir bertanggungjawab.

"Lawatan beliau ke NYC pada bulan Julai tidak boleh dibiarkan berlaku tanpa sebarang hukuman," menurut kenyataan HRF menerusi akaun rasmi mereka di platform X.

 

 

Wakil HRF di AS, Jake Romm, menyifatkan Ben-Gvir sebagai antara penjenayah perang terbesar pada zaman ini dan menegaskan bahawa pihak berkuasa Washington mempunyai obligasi mutlak untuk menangkap serta mengheret beliau ke muka pengadilan atas kekejaman yang dilakukan.

Sebelum ini, Ben-Gvir telah dikenakan sekatan antarabangsa oleh beberapa buah negara termasuk Australia, Kanada, New Zealand, Norway, dan United Kingdom (UK) atas kesalahan menghasut keganasan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Ben-Gvir sering secara terbuka menggesa pasukan keselamatan Israel mempertingkatkan serangan di seluruh rantau Asia Barat, termasuk mengeluarkan kenyataan kontroversi yang mendesak agar seluruh bumi Lubnan dibakar susulan kematian empat anggota tentera Israel (IDF) dalam serangan balas Hezbollah.

 

Must Watch Video

Advertisement