MUAR: Kementerian Komunikasi akan menggerakkan pasukan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk lebih proaktif turun padang termasuk membantu masyarakat memanfaatkan peluang menjana pendapatan melalui ekonomi digital.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat maklumat tambahan dan latihan menerusi program yang disediakan oleh NADI.
“Saya akan minta supaya pasukan NADI turun untuk menyantuni dan membantu keluarga-keluarga ini untuk mendapat maklumat tambahan ataupun latihan, contoh untuk menjadi TikTok affiliate ataupun menjual produk-produk di dalam talian.
“Saya juga minta supaya NADI juga proaktif untuk keluar, bukan sekadar orang pergi ke NADI. Ini yang kita akan usahakan selepas ini,” katanya selepas Program Ziarah Kasih MADANI di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi menyantuni dua keluarga yang mempunyai anak menghidap cerebral palsy iaitu Muhammad Izz Muahnned Izwan berusia 11 tahun dan Luqman Al Hazim Mohammad Iman berusia 20 tahun.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata program turun padang seperti Ziarah Kasih MADANI memberi peluang kepada beliau untuk meninjau sendiri isu kebajikan dan pembangunan yang memerlukan perhatian segera.
Bagi isu capaian Internet, Fahmi berkata terdapat beberapa projek yang sedang dilaksanakan dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun ini, selaras dengan perancangan yang telah dibuat sejak tahun lepas.
Program Ziarah Kasih MADANI ialah inisiatif turun padang yang digerakkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) bagi menyantuni golongan memerlukan, di samping mengenal pasti isu dan keperluan sebenar masyarakat melalui kerjasama Komuniti MADANI pada peringkat akar umbi.
Program itu turut menjadi platform untuk menghubungkan penerima yang layak dengan agensi berkaitan bagi membolehkan bantuan dan intervensi disalurkan secara lebih berkesan.
-- BERNAMA