Skip to main content
Advertisement

Dunia

Netanyahu ulang pendirian tolak negara Palestin, fokus keselamatan Israel

 Israeli Prime Minister Benjamin Netanyahu speaks during a press conference, amid the U.S.-Israel conflict with Iran, in Jerusalem, March 19, 2026. REUTERS/Ronen Zvulun/File Photo
Netanyahu (foto) berkata pendirian itu akan menjadi asas kepada dasar kerajaan yang dipimpinnya, sekali gus menolak penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka. -Gambar fail/Reuters

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan tiada ruang untuk penyelesaian dua negara di antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean, lapor Al Jazeera.

Beliau berkata pendirian itu akan menjadi asas kepada dasar kerajaan yang dipimpinnya, sekali gus menolak penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Menerusi sidang media di sini hari ini, Netanyahu berkata sokongan dalam kalangan rakyat Israel terhadap pendirian tersebut semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Di antara kawasan laut dan Sungai Jordan, tiada ruang untuk dua negara.

"Tiga tahun lepas sebelum perang meletus, masyarakat mungkin berbelah bahagi mengenai isu ini, namun keadaan kini telah berubah,” katanya.

Netanyahu mendakwa sebahagian besar rakyat Israel kini menyokong penuh pendirian beliau yang enggan memberikan sebarang hak kedaulatan kepada wilayah Palestin demi mempertahankan keselamatan mutlak rejim berkenaan.

Dalam sidang media sama, beliau turut membentangkan butiran perjanjian rangka kerja baharu yang dimeterai dengan Lubnan di Washington, yang disifatkannya sebagai satu pencapaian bersejarah serta memberikan tamparan hebat kepada sekutu Palestin, iaitu Iran dan Hezbollah.

Di bawah memorandum persefahaman tersebut, Amerika Syarikat (AS) dan Lubnan secara rasmi mengiktiraf hak Israel untuk mengekalkan zon keselamatan ketenteraan di dalam wilayah selatan Lubnan bagi tempoh yang tidak dinyatakan.

Pasukan tentera Israel (IDF) dilaporkan akan terus menduduki wilayah berkenaan sehingga proses pelucutan senjata sepenuhnya ke atas kumpulan pejuang Hezbollah selesai dilaksanakan oleh kerajaan Beirut.

Satu program rintis juga akan dimulakan membabitkan penubuhan dua kawasan bersebelahan berhampiran 'Garisan Kuning' bagi memulakan proses pemindahan kawalan sempadan kepada tentera Lubnan secara berperingkat.

 

Must Watch Video

Advertisement