Skip to main content

Teknologi

Midjourney beralih ke sektor kesihatan, perkenal mesin imbasan ultrabunyi

Midjourney Akan Melancarkan Peranti Fizikal Esok -- amanz
Peranti berkenaan berfungsi sebagai sistem imbasan berasaskan ultrabunyi yang mampu memetakan komposisi otot, lemak, tulang serta organ dalaman dalam tempoh kira-kira 60 saat. -Foto Amanz

SAN FRANCISCO: Firma kecerdasan buatan (AI) generatif Midjourney mengumumkan penubuhan unit perubatan baharu dikenali sebagai Midjourney Medical, selain memperkenalkan peranti fizikal pertama mereka berupa mesin imbasan ultrabunyi seluruh badan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Holz, berkata peranti dikenali sebagai Midjourney Scanner itu menandakan kemasukan rasmi syarikat tersebut ke dalam sektor kesihatan, lapor Amanz.

Menurut beliau, peranti berkenaan berfungsi sebagai sistem imbasan berasaskan ultrabunyi yang mampu memetakan komposisi otot, lemak, tulang serta organ dalaman dalam tempoh kira-kira 60 saat.

Perkakasan itu dibangunkan dengan kerjasama Butterfly Network, menggunakan kira-kira 40 modul Ultrasound-on-Chip bagi menghasilkan imej dari pelbagai sudut.

Beliau berkata teknologi tersebut berpotensi mencapai kualiti imej setanding Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dalam jangka masa panjang.
Bagi pengoperasian, pengguna perlu berada dalam keadaan separa tenggelam dalam air bagi membolehkan penderia mengumpul data dengan lebih tepat.

Untuk fasa awal komersial, Midjourney merancang menempatkan mesin imbas itu di pusat kesihatan premium dikenali sebagai Midjourney Spa.

Cawangan pertama dengan keluasan kira-kira 25,000 kaki persegi dijadual dibuka di Union Square, San Francisco menjelang penghujung 2027, dengan sekitar sembilan hingga 10 unit mesin disediakan.

Syarikat itu turut mengesahkan perbincangan awal telah dimulakan dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat bagi membolehkan teknologi tersebut digunakan untuk tujuan diagnostik pada masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement