Skip to main content

Malaysia

PM Anwar tiba di Turkmenistan untuk lawatan rasmi dua hari

ASHGABAT (TURKMENISTAN), June 18 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim arrived at Ashgabat International Airport here tonight.  The aircraft carrying Anwar landed at Ashgabat International Airport at 8 pm local time for a two-day official visit to Turkmenistan from June 18 to 19.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Pesawat yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada 8 malam waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari bermula pada hari ini. - Foto BERNAMA

ASHGABAT (TURKMENISTAN): Selepas menamatkan lawatan kerja dua hari di Kazan, Republik Tatarstan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu kota Turkmenistan, di sini yang terkenal sebagai “Kota Marmar Putih” pada Khamis, untuk satu lagi lawatan ke negara Asia Tengah.

Pesawat yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada 8 malam waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari bermula pada hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar. 

Sejurus tiba, Perdana Menteri disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan Mohd Suhaimi Ahmad Tajuddin dan Timbalan Pengerusi Menteri Kabinet bagi Minyak dan Gas Turkmenistan Guvanch Agajanov.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan rasmi Anwar ke Turkmenistan merupakan undangan daripada Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov dan juga kunjungan balas susulan lawatan rasmi Berdimuhamedov ke Malaysia pada Disember 2024.

Lawatan ini juga menandakan lawatan rasmi Anwar yang pertama ke Turkmenistan dan kelima oleh Perdana Menteri Malaysia.

Anwar memulakan lawatan dengan menghadiri majlis makan malam dengan diaspora dan rakan Malaysia.

Majlis sambutan rasmi oleh Berdimuhamedov akan berlangsung di Istana Presiden pada Jumaat, diikuti pertemuan empat mata dengan presiden, mesyuarat dua hala, penandatanganan kenyataan bersama oleh kedua-dua pemimpin serta pertukaran perjanjian dan memorandum persefahaman yang dimuktamadkan oleh dua kerajaan.

Menurut Wisma Putra, Anwar kemudian akan menghadiri majlis makan tengah hari yang diraikan oleh Berdimuhamedov di Istana Presiden sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Turkmenbashi Ruhy.

Perdana Menteri juga dijadualkan merasmikan Forum Malaysia-Turkmenistan bersama-sama Berdimuhamedov di Dewan Perdagangan dan Industri Turkmenistan pada sebelah petang, sebelum mengadakan sidang akhbar dengan media Malaysia dan mengakhiri lawatan berkenaan.

Pada 2025, Turkmenistan ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia daripada kalangan negara Asia Tengah.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Turkmenistan berjumlah RM75.80 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta, mencatat peningkatan sebanyak 9 peratus daripada angka pada tahun sebelumnya.

Turkmenistan juga merupakan destinasi pelaburan utama Petronas, dengan jumlah pelaburan Petronas di negara ini mencecah RM52.73 bilion sejak 1996 hingga kini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement