Skip to main content

Dunia

Pembangunan AI perlu bergantung pada rangkaian rakan strategik dipercayai – Pakar

Benedict Macon Cooney
Menurut Macon-Cooney, bagi kebanyakan negara, membangunkan model AI asas sendiri bukanlah pilihan realistik. Sebaliknya, tumpuan perlu diberikan kepada pengukuhan infrastruktur sokongan. - Foto Tony Blair Institute for Global Change

TASHKENT: Negara yang berhasrat membangunkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) perlu menyesuaikan diri dengan pakatan baharu, kawalan baharu serta rangkaian rakan kongsi yang dipercayai memandangkan teknologi itu semakin menjadi isu geopolitik, kata seorang pakar pada Khamis.

Ketua pegawai AI dan Inovasi Tony Blair Institute for Global Change Benedict Macon-Cooney berkata perkembangan mutakhir termasuk kawalan eksport Amerika Syarikat (AS) terhadap model AI termaju menunjukkan akses kepada teknologi AI kini semakin dipengaruhi kepentingan nasional serta pertimbangan geopolitik.

“AI perlu dilihat sebagai satu sistem geopolitik, bukan sekadar teknologi semata-mata

“Dari sudut tadbir urus, pemimpin negara perlu mengharungi pakatan baharu, kawalan baharu serta rangkaian rakan kongsi yang dipercayai,” katanya pada sesi bertajuk ‘AI, Digital Governance and Innovation: The Next Investment Frontier’ di Forum Pelaburan Antarabangsa Tashkent (TIIF) 2026.

Macon-Cooney berkata persaingan global dalam bidang AI ketika ini didominasi oleh Amerika Syarikat (AS) dan China, dengan hanya beberapa negara memiliki keupayaan yang signifikan.

“AS dan China jelas berada jauh di hadapan dalam perlumbaan AI ini, dengan makmal terkemuka seperti OpenAI, Anthropic dan Google menerusi model Gemini berada di barisan hadapan,” katanya

Beliau berkata China, disokong syarikat seperti DeepSeek serta pembangun AI sumber terbuka lain, dianggarkan hanya ketinggalan sekitar enam hingga sembilan bulan berbanding model AI paling maju dari AS.

Menurutnya, negara seperti United Kingdom, Perancis, Jerman dan Jepun turut mempunyai keupayaan AI, namun masih jauh ketinggalan berbanding dua kuasa utama tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan dan pembuat dasar semakin perlu menyesuaikan pendekatan masing-masing dengan membina pakatan strategik serta rangkaian rakan kongsi yang dipercayai bagi memastikan akses kepada teknologi AI kritikal.

Macon-Cooney turut mengingatkan bahawa sesetengah negara berisiko tersalah tafsir konsep kedaulatan AI dengan menganggap ia memerlukan pembangunan model asas secara menyeluruh dari awal.

“Saya melihat terdapat risiko besar dalam cara sesetengah negara mentafsir kedaulatan AI ketika ini,” katanya.

Beliau mengibaratkan pembangunan AI seperti industri penerbangan, iaitu negara membeli pesawat daripada pengeluar sedia ada berbanding membinanya sendiri dari awal.

“Sesetengah negara tersilap apabila beranggapan mereka perlu membangunkan model termaju sendiri yang boleh menelan kos melebihi satu trilion dolar AS untuk dilatih dari awal. Sebaliknya, mereka perlu menilai bagaimana untuk bekerjasama dengan negara yang memiliki keupayaan terkuat dalam bidang ini,” katanya.

Ketika ditemui Bernama selepas sesi berkenaan, Macon-Cooney berkata prinsip sama turut terpakai kepada ekonomi negara pertengahan yang berhasrat memperkukuh keupayaan AI masing-masing.

Beliau berkata persoalan utama ialah bagaimana negara boleh kekal berdaya saing ketika trilion dolar dilaburkan dalam pembangunan model AI termaju di peringkat global.

Menurutnya, bagi kebanyakan negara, membangunkan model AI asas sendiri bukanlah pilihan realistik. Sebaliknya, tumpuan perlu diberikan kepada pengukuhan infrastruktur sokongan termasuk pusat data, kapasiti pengkomputeran dan bekalan tenaga, di samping memanfaatkan teknologi AI sedia ada untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing.

Beliau berkata AI juga berpotensi memberi impak besar dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, sains hayat, pendidikan dan pentadbiran cukai.

Tambahnya, walaupun pelaburan dalam pusat data dan infrastruktur digital masih penting, nilai jangka panjang AI bergantung kepada sejauh mana sesebuah negara mampu menggunakannya secara berkesan dalam keseluruhan ekonomi.

“Saya fikir masih terdapat trilion dolar yang sedang dilaburkan dalam infrastruktur termasuk pusat data, cip dan memori, namun masih banyak kerja perlu dilakukan untuk menangani kekangan asas ini,” katanya.

Di luar perkhidmatan digital, beliau berkata AI akan semakin digunakan dalam sektor pembuatan, robotik termaju, pembangunan ubat-ubatan dan penyelidikan biologi, sekali gus membuka peluang kepada negara yang tidak memiliki makmal AI termaju tetapi mampu membangunkan kapasiti industri berasaskan teknologi tersebut.

“Namun negara yang tidak mempunyai makmal AI termaju akan mula memikirkan bagaimana untuk membangunkan kapasiti industri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement