Skip to main content

Dunia

AS rampas lebih 50 dron berhampiran lokasi Piala Dunia, kata DHS

U.S. Secretary of Homeland Security Markwayne Mullin speaks during a press conference hosted with Acting U.S. Attorney General Todd Blanche on unaccompanied minors and prosecuting their sponsors, at the Justice Department, in Washington, D.C., U.S., June 11, 2026. REUTERS/Evelyn Hockstein
Agensi Amerika Syarikat (AS) telah merampas lebih 50 dron berhampiran lokasi penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 sejak bermulanya kejohanan itu minggu lalu, menurut Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Markwayne Mullin. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Agensi Amerika Syarikat (AS) telah merampas lebih 50 dron berhampiran lokasi penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 sejak bermulanya kejohanan itu minggu lalu, menurut Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Markwayne Mullin, pada Khamis.

Di Kansas City, pasukan bersama persekutuan dan bandar yang menangani ancaman dron berjaya memintas lapan dron pada Rabu ketika acara Piala Dunia 2026 berlangsung di Stadium Kansas City (Arrowhead) dan Festival Peminat FIFA.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) telah melarang sebarang penerbangan dron di ruang udara melibatkan perlawanan Piala Dunia 2026 serta acara peminat berkaitan di seluruh AS.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) memaklumkan, lebih 150 pencerobohan dron dikesan dalam ruang udara larangan di lapan lokasi perlawanan, termasuk lebih 30 insiden di Atlanta.

Pada hari perlawanan, semua operasi pesawat termasuk dron dilarang dalam lingkungan radius tiga batu nautika dan ketinggian sehingga 3,000 kaki dari aras tanah di sekitar stadium, kecuali dengan kebenaran khusus daripada pengawal trafik udara.

Bagi acara peminat pula, dron tidak dibenarkan beroperasi dalam radius satu batu nautika dan sehingga 1,000 kaki dari aras tanah di seluruh negara.

FAA menegaskan pengendali dron yang memasuki ruang udara larangan tanpa kebenaran boleh dikenakan denda sehingga AS$100,000 selain berdepan pertuduhan jenayah dan rampasan dron.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) turut menempatkan pasukan mitigasi dron di sekitar stadium Piala Dunia.

Sebagai contoh, seorang lelaki mengaku bersalah tahun lalu selepas didakwa melanggar ruang udara pertahanan apabila menerbangkan dron ketika perlawanan playoff NFL AFC di Baltimore pada Januari 2025. 

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki dari Massachusetts didakwa menerbangkan dron secara haram berhampiran garisan penamat Maraton Boston pada April 2024, sehingga memaksa pihak berkuasa merampas peranti itu di udara. - Agensi
 

Must Watch Video

Advertisement