TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei mengesahkan beliau telah meluluskan satu perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) meskipun mempunyai pandangan berbeza terhadap kesepakatan tersebut.
Dalam satu mesej teks yang dibacakan oleh penyiar rasmi Iran, IRIB, pada Khamis malam, Khamenei berkata, Presiden AS, Donald Trump, telah “dalam keadaan terdesak menggunakan pelbagai bentuk tekanan dan pengaruh” bagi memastikan perjanjian itu dimeterai.
“Sebagai prinsip, saya mempunyai pandangan berbeza. Namun, mengambil kira komitmen yang diberikan kepada saya oleh Presiden yang dihormati, atas kapasiti beliau sebagai ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, bagi pihak dirinya dan anggota lain, untuk memelihara hak rakyat Iran serta Barisan Penentangan - dan dengan penerimaan jelas beliau terhadap tanggungjawab tersebut - saya meluluskannya,” kata Khamenei.
Tambahnya, Iran kini akan “menunggu pemenuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan” dalam perjanjian berkenaan.
Beliau turut menegaskan, sebarang rundingan bersemuka pada masa depan “tidak bermakna penerimaan terhadap pendirian pihak musuh.”
Khamenei kemudiannya memuat naik versi bahasa Inggeris kenyataannya menerusi akaun rasmi X miliknya.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, mengeluarkan kenyataan menyambut baik mesej yang disifatkannya sebagai “bijaksana” daripada pemimpin tertinggi itu, menurut IRIB.
Araghchi menambah, jentera dasar luar Iran akan terus komited untuk memastikan kepentingan tertinggi negara terus terpelihara. - Agensi