Skip to main content

Teknologi

Meta sekat fungsi kamera cermin mata pintar jika lampu LED privasi dihalang

Sumber: AMANZ
Langkah keselamatan terbaharu itu diperkenalkan menerusi kemas kini perisian wajib bagi menangani kebimbangan berhubung isu privasi dan rakaman tanpa pengetahuan orang ramai. -Foto Amanz

META mengumumkan fungsi kamera pada cermin mata pintar Ray-Ban Meta akan dilumpuhkan secara automatik sekiranya sistem mengesan lampu LED privasi pada peranti itu dihalang, diusik atau diubah suai.

Langkah keselamatan terbaharu itu diperkenalkan menerusi kemas kini perisian wajib bagi menangani kebimbangan berhubung isu privasi dan rakaman tanpa pengetahuan orang ramai, lapor Amanz.

Secara lalai, cermin mata pintar berkenaan dilengkapi lampu LED pada bingkai peranti yang menyala ketika gambar atau video sedang dirakam sebagai petunjuk kepada individu di sekeliling.

Bagaimanapun, timbul isu keselamatan apabila terdapat pihak menawarkan perkhidmatan pengubahsuaian bagi mematikan atau membuang fungsi lampu tersebut untuk membolehkan rakaman dibuat secara tersembunyi.

Bagi membendung perkara itu, Meta berkata pihaknya telah mula membuang iklan dan penyenaraian yang mempromosikan pengubahsuaian sedemikian, selain mempertimbangkan tindakan lanjut terhadap pihak yang terlibat.

Perdebatan mengenai privasi peranti boleh pakai yang mempunyai kamera bukan perkara baharu dan telah tercetus sejak era Google Glass lebih sedekad lalu, khususnya di negara yang mempunyai peraturan privasi yang ketat.

Meta berkata kemas kini terbaharu itu bertujuan memastikan petunjuk rakaman pada peranti terus berfungsi dan tidak boleh dipintas melalui pengubahsuaian fizikal.

 

Must Watch Video

Advertisement