Skip to main content

Teknologi

Meta bangunkan Arena, aplikasi 'ramalan pasaran' mirip Polymarket

AMANZ
Arena menggunakan pendekatan berbeza apabila pengguna tidak bertaruh menggunakan wang tunai, sebaliknya melalui sistem mata token yang menyerupai mekanik dalam permainan video. -Foto Amanz

NEW YORK: Gergasi teknologi Meta dilapor sedang membangunkan aplikasi baharu dikenali sebagai Arena bagi memasuki sektor pasaran ramalan.

Menurut Amanz yang memetik laporan The New York Times, aplikasi yang dibangunkan oleh pasukan kecil dalam Meta itu mempunyai ciri hampir sama dengan platform sedia ada seperti Polymarket dan Kalshi.

Arena bagaimanapun menggunakan pendekatan berbeza apabila pengguna tidak bertaruh menggunakan wang tunai, sebaliknya melalui sistem mata token yang menyerupai mekanik dalam permainan video.

Namun, pelancarannya kepada umum masih belum diputuskan.

Penganalisis tidak menolak kemungkinan ciri pertaruhan wang sebenar akan diperkenalkan pada masa depan sekiranya aplikasi itu mendapat sambutan dan berjaya menembusi pasaran.

Langkah itu dilaporkan sebagai usaha Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg untuk memperluas kehadiran syarikat dalam industri bernilai berbilion dolar tersebut.

Ia juga mencerminkan strategi Meta untuk mengembangkan produk di luar media sosial, seiring usaha syarikat itu meneroka bidang baharu seperti kecerdasan buatan dan peranti digital.

Bagaimanapun, perkembangan pasaran ramalan kebelakangan ini turut menerima kritikan daripada pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai menyerupai aktiviti perjudian.

Selain itu, terdapat kebimbangan terhadap risiko penyalahgunaan maklumat dalaman bagi tujuan meraih keuntungan dalam platform berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement