Skip to main content

Malaysia

Tiga langkah strategik perkukuh, transformasi sektor permuziuman negara - Aaron

81745564082_TBAARON.jpg
Aaron berkata kesemua inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI bagi memastikan institusi muzium terus diperkasakan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium memberi tumpuan kepada tiga langkah strategik bagi memperkukuh serta mentransformasikan sektor permuziuman negara agar kekal relevan dan berdaya saing.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata tiga langkah strategik itu termasuk memperkenalkan Geran Padanan Muzium bagi memperkasa pembangunan sektor permuziuman serta penggubalan Rang Undang-undang Muzium Malaysia (RUUMM) bagi memperkukuh tadbir urus sektor berkenaan.

“Selain itu, Kerajaan MADANI telah meluluskan pembangunan Muzium Alam Semula Jadi Malaysia di Putrajaya sekali gus merealisasikan hasrat yang dirancang sejak 1989,” katanya pada majlis perasmian Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 di Padang Akasia, Pusat Beli-Belah Angsana, Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata projek pembangunan Muzium Alam Semula Jadi itu merupakan antara inisiatif strategik dalam memperkukuh pemeliharaan dan pendidikan berkaitan biodiversiti serta warisan alam semula jadi Malaysia.

“Sehingga kini, Muzium Alam Semula Jadi menyimpan sebanyak 76,666 spesimen merangkumi 73,934 koleksi zoologi, 2,075 koleksi botani dan 657 koleksi geologi.

“Koleksi ini bukan sahaja mempunyai nilai saintifik yang tinggi, malah menjadi sumber rujukan penting dalam usaha penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan warisan alam negara,” katanya.

Aaron berkata kesemua inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI bagi memastikan institusi muzium terus diperkasakan sebagai wadah pendidikan, pemeliharaan warisan, pembangunan modal insan dan pembinaan negara bangsa.

“Dalam landskap global yang dipacu oleh teknologi, kecerdasan buatan dan pendigitalan, institusi muzium perlu terus beradaptasi dengan kehendak semasa melalui pendekatan penyampaian yang lebih interaktif, penggunaan teknologi digital dan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik,” katanya.

Beliau berkata FHMAPK 2026 yang berlangsung lima hari bermula hari ini bertemakan ‘Museums Uniting a Divided World’ dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Johor menerusi Warisan Negeri Johor merupakan antara acara tahunan utama dalam kalendar permuziuman negara.

Katanya sambutan itu merupakan detik yang signifikan kerana menandakan 30 tahun penganjuran Hari Muzium Antarabangsa di Malaysia sejak mula disambut pada 1997. 

Sepanjang festival itu, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai program antaranya pameran muzium dari dalam dan luar negara, demonstrasi serta perkongsian ilmu menerusi bengkel, aktiviti STEM dan DIY hasil kerjasama dengan Yayasan MR D.I.Y., pertandingan, persembahan kebudayaan, jerayawara warisan, gerai jualan makanan, program kerohanian dan Museum Fun Walk.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement