SHENZHEN: Superkomputer LineShine dari China mengatasi kedudukan El Capitan milik Amerika Syarikat (AS) untuk muncul sebagai sistem terpantas dunia dalam senarai TOP500 terbaharu, lapor Amanz.
Sistem pengkomputeran berprestasi tinggi itu mencatat kuasa pemprosesan 2.198 ExaFlop sesaat (ExaFlop/s) dalam ujian penanda aras High Performance Linpack (HPL).
Pencapaian tersebut menjadikan LineShine sebagai sistem pertama di dunia yang melepasi paras 2 ExaFlop/s menggunakan unit pemprosesan pusat (CPU) sahaja.
El Capitan dari AS kini berada di tempat kedua dengan prestasi 1.809 ExaFlop/s.
LineShine yang dibina di Pusat Superkomputer Kebangsaan Shenzhen (NSCS) dilengkapi kira-kira 13.79 juta teras CPU dan beroperasi menggunakan sistem operasi Kylin OS, selain berasaskan pemproses tempatan LX2.
Dunia kini mempunyai lima superkomputer berkelas exascale, iaitu LineShine di China, El Capitan, Frontier dan Aurora di AS, serta Jupiter Booster di Jerman.
Setakat ini, fungsi khusus LineShine masih belum didedahkan kepada umum.
Sebagai perbandingan, El Capitan dibangunkan bagi menyokong simulasi keselamatan senjata nuklear, pemodenan sistem pertahanan serta pelbagai penyelidikan saintifik.