PROVIDENCE: Purata markah ujian pelajar kelas ekonomi di Universiti Brown merosot hampir 50 peratus selepas pensyarah mewajibkan semula peperiksaan diambil di dalam kelas kerana mengesyaki berlaku penipuan menggunakan kecerdasan buatan (AI), lapor Amanz.
Profesor ekonomi, Roberto Serrano yang mengajar kelas Ekonomi Kebajikan dan Teori Pilihan Sosial di universiti Ivy League tersebut mengambil tindakan berkenaan selepas ujian pertengahan tahun yang dibuat di rumah sebelum ini mencatatkan purata markah luar biasa tinggi iaitu 96 peratus.
Ujian di rumah itu pada asalnya dibenarkan atas faktor keselamatan susulan insiden tembakan di kampus, walau bagaimanapun keputusan tersebut jauh melangkaui julat normal antara 68 hingga 80 peratus yang sering dicatatkan sebelum ini.
Susulan penguatkuasaan peperiksaan dalam kelas yang baharu, seramai 18 daripada 86 pelajar bertindak berhenti mengambil kelas berkenaan, manakala sembilan lagi pelajar gagal menghadirkan diri.
Baki 59 pelajar yang menduduki peperiksaan secara bersemuka itu akhirnya sekadar mencatatkan markah purata 48.6 peratus, sekali gus mendedahkan penurunan drastik berbanding ujian di rumah.
Isu integriti akademik ini mencetuskan kebimbangan besar memandangkan Universiti Brown merupakan antara institusi pendidikan tinggi paling berprestij di dunia yang hanya menerima kemasukan pelajar terbaik.
Pendedahan ini turut menimbulkan persoalan dalam dunia akademik sama ada lambakan pemegang sijil dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tinggi pada masa ini benar-benar mencerminkan tahap kebijaksanaan sebenar pelajar.
Setakat ini, hanya beberapa buah negara seperti Norway yang mula mengenakan sekatan ketat penggunaan AI dalam kelas, termasuk melarang sepenuhnya murid berusia enam hingga 13 tahun daripada menggunakan teknologi berkenaan.