Skip to main content

Teknologi

Apple dijangka perkenal cermin mata pintar berteraskan privasi pada WWDC 2027

Sumber: AMANZ
Berbanding set kepala Vision Pro yang lebih besar dan mahal, cermin mata pintar itu dilaporkan bakal tampil dengan reka bentuk yang ringan untuk kegunaan harian serta tidak dilengkapi paparan pada lensanya. -Gambar Amanz

PELBAGAI pengeluar kini berlumba-lumba memperkenalkan cermin mata pintar masing-masing dalam usaha merebut pegangan pasaran peranti kecerdasan buatan (AI), yang ketika ini banyak dipacu oleh Meta.

Apple turut tidak ketinggalan.

Menurut Amanz yang memetik laporan Bloomberg, gergasi teknologi itu dijangka memperkenalkan cermin mata pintar pertamanya seawal Persidangan Pembangun Sedunia Apple (WWDC) pada Jun 2027.

Langkah memperlihatkan peranti itu lebih awal dijangka membolehkan pembangun mula membina ekosistem aplikasi sebelum produk boleh pakai berkenaan mula dipasarkan kepada pengguna pada penghujung 2027.

Berbanding set kepala Vision Pro yang lebih besar dan mahal, cermin mata pintar itu dilaporkan bakal tampil dengan reka bentuk yang ringan untuk kegunaan harian serta tidak dilengkapi paparan pada lensanya.

Peranti itu juga dijangka ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding Vision Pro.

Apple dikatakan sedang menguji pelbagai pendekatan privasi bagi menangani kebimbangan yang sering dikaitkan dengan peranti seperti Meta Ray-Ban.

Antara prototaip yang sedang dinilai termasuk model tanpa kamera fizikal. Selain itu, terdapat juga versi yang dilengkapi kamera terbina dalam, namun fungsi kamera tersebut hanya digunakan untuk menyokong ciri Visual Intelligence tanpa keupayaan mengambil gambar atau merakam video seperti kamera konvensional.

Selain cermin mata pintar, Apple turut dilaporkan mempercepat pembangunan AirPods generasi baharu yang dilengkapi kamera beresolusi rendah.

Seperti cermin mata pintar itu, kamera pada AirPods berkenaan dijangka berfungsi sebagai sensor visual yang menyalurkan maklumat persekitaran kepada Siri yang dikuasakan oleh Apple Intelligence.

Perkembangan tersebut memperlihatkan perubahan strategi perkakasan Apple yang semakin memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem peranti boleh pakai berasaskan AI menjelang 2027.

Bagaimanapun, nama komersial rasmi produk itu masih belum dimuktamadkan, sama ada akan menggunakan penjenamaan siri Vision atau diperkenalkan di bawah keluarga produk baharu.

 

Must Watch Video

Advertisement