Skip to main content

Teknologi

AMD lancar Ryzen AI MAX 400, sokong memori sehingga 192GB

https://amanz.my/2026565454
Dari segi prestasi, cip ini menawarkan kelajuan CPU sehingga 5.2GHz berbanding 5.1GHz pada generasi terdahulu, manakala unit pemprosesan grafik (GPU) beroperasi pada kelajuan sekitar 3.0GHz. -Foto Amanz

ADVANCED Micro Devices (AMD) melancarkan siri cip pemprosesan terbaharu, AMD Ryzen AI MAX 400, yang menampilkan memori bersepadu sehingga 192GB bagi menyokong aplikasi kecerdasan buatan (AI).

Siri dengan kod nama “Gorgon Halo” itu merupakan kemas kini kepada platform Ryzen MAX 300 “Strix Halo” yang diperkenalkan tahun lalu, sebelum ini memfokuskan kepada segmen peranti permainan (gaming) berprestasi tinggi bersaiz kompak.

AMD memperkenalkan tiga model utama iaitu Ryzen AI Max+ PRO 495, Ryzen AI Max PRO 490 dan Ryzen AI Max PRO 485.

Kesemua model itu dilengkapi peningkatan pada pengawal memori bagi menyokong memori LPDDR5X sehingga 192GB, lapor Amanz.

Dari segi prestasi, cip ini menawarkan kelajuan CPU sehingga 5.2GHz berbanding 5.1GHz pada generasi terdahulu, manakala unit pemprosesan grafik (GPU) beroperasi pada kelajuan sekitar 3.0GHz.

Selain itu, unit pemprosesan dipercepat (APU) ini membolehkan pengguna melaraskan kapasiti memori akses rawak video (VRAM) yang dikongsi dengan GPU AMD Radeon 8065S dan Radeon 8050S sehingga 160GB.

Bagi keupayaan AI, cip ini dilengkapi unit pemprosesan saraf (NPU) dengan prestasi sehingga 55 TOPS, bergantung kepada model.

Spesifikasi tersebut berpotensi membolehkan sistem kompak ini menjalankan model bahasa besar (LLM) berskala tinggi secara tempatan tanpa kebergantungan kepada pelayan awan.

Susulan pelancaran itu, AMD turut dilaporkan merancang memperkenalkan barisan komputer kompak berasaskan platform ini bagi bersaing dalam segmen peranti mini.

Pasaran tersebut ketika ini didominasi oleh produk seperti Mac mini, Intel NUC dan sistem AI NVIDIA.

 

Must Watch Video

Advertisement