Skip to main content

Teknologi

AMD, Anthropic jalin kerjasama AI bernilai sehingga AS$5 bilion

61718770845_AMD.jpg
Kapasiti tambahan tersebut dijangka menyokong pertumbuhan penggunaan chatbot Claude milik Anthropic yang terus menerima permintaan tinggi daripada pelanggan perusahaan dan pengguna.

SAN JOSE: Syarikat semikonduktor Advanced Micro Devices (AMD) mengumumkan kerjasama strategik dengan syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic, yang berpotensi melibatkan pelaburan ekuiti bernilai sehingga AS$5 bilion (kira-kira RM23.4 bilion) pada masa hadapan.

Menerusi kerjasama itu, Anthropic dijangka memperoleh akses kepada kapasiti perkomputeran berprestasi tinggi sehingga dua gigawatt menggunakan unit pemprosesan grafik (GPU) AMD Instinct MI450 yang ditempatkan dalam infrastruktur rak AMD Helios, lapor Amanz.

Kapasiti tambahan tersebut dijangka menyokong pertumbuhan penggunaan chatbot Claude milik Anthropic yang terus menerima permintaan tinggi daripada pelanggan perusahaan dan pengguna.

Sebelum ini, Anthropic turut menjalinkan kerjasama pengkomputeran berskala besar dengan beberapa penyedia perkhidmatan awan utama bagi meningkatkan keupayaan latihan dan operasi model AI syarikat itu.

Di bawah perjanjian baharu tersebut, AMD dan Anthropic turut merancang kerjasama kejuruteraan jangka panjang bagi memanfaatkan keupayaan model Claude untuk mengoptimumkan beban kerja GPU serta memperkukuh pembangunan ekosistem perisian AMD ROCm.

Kerjasama itu dilihat mampu mengukuhkan kedudukan AMD dalam persaingan industri AI global yang ketika ini didominasi oleh permintaan tinggi terhadap cip pemprosesan berprestasi tinggi.

AMD sebelum ini turut menjalinkan hubungan strategik dengan beberapa pemain utama AI termasuk OpenAI dalam usaha memperluaskan penggunaan platform perkakasan dan perisian keluarannya.

 

Must Watch Video

Advertisement