HANGZHOU: Gergasi teknologi China, Alibaba Group, dilapor sedang membangunkan platform kecerdasan buatan (AI) bersepadu baharu dikenali sebagai Qwen Office yang disasarkan kepada segmen perusahaan dan produktiviti perniagaan.
Langkah itu diambil bagi menggabungkan tiga produk ejen AI sedia ada syarikat berkenaan iaitu QoderWork, Wukong dan MuleRun di bawah satu jenama tunggal, sekali gus meningkatkan kecekapan aliran kerja di pejabat, lapor Amanz.
Alibaba sebelum ini telah membangunkan model bahasa besar (LLM) sendiri, Qwen, yang kini ditawarkan dalam versi terbaharu, Qwen 3.8-Max, bagi membantu pengguna menyelesaikan pelbagai tugasan yang kompleks.
Bagi merealisasikan penawaran komersial Qwen Office yang dibangunkan berasaskan rangka kerja QoderWork, Alibaba dilaporkan aktif merekrut tenaga kerja teknikal tambahan termasuk jurutera perisian dan pengurus produk.
Berbeza dengan laporan awal, platform baharu itu tidak akan beroperasi secara berasingan.
Sebaliknya, ia akan diletakkan di bawah platform komunikasi korporat DingTalk yang kini diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chen Yusen, yang dilantik pada Jun lalu.
Penyatuan itu dilaksanakan bagi mengurangkan pertindihan fungsi serta mengoptimumkan penggunaan sumber dalaman yang sebelum ini terkesan akibat persaingan antara jabatan.
Bagaimanapun, Alibaba Group masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung jadual pelancaran atau struktur harga langganan bagi produk AI baharu itu.