GLASGOW: Jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan menganggap tekanan sebagai elemen penting, untuk membantunya memberikan persembahan terbaik dalam misi mempertahankan pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini, esok.
Mohamad Aniq yang akan beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki berkata sedikit tekanan, diperlukan untuk membangkitkan semangat serta membolehkannya merasai suasana sebenar ketika berdepan lawan di pentas pertandingan.
Atlet berusia 24 tahun itu berkata aspek psikologi dan keyakinan diri, turut menjadi antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam usaha mencapai sasaran ditetapkan.
“Tekanan itu memang ada. Kalau tiada tekanan, itu tidak bagus untuk kita. Sedikit tekanan diperlukan supaya kita dapat merasai suasana sebenar ketika berada di pentas pertandingan.
“Jurulatih sentiasa memberi keyakinan kepada kami, jadi kita juga perlu percaya kepada diri sendiri dan memberikan segala-galanya. Selebihnya, Allah yang tentukan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Mohamad Aniq berkata persiapannya berjalan mengikut perancangan selepas kem latihan di Turkiye mencapai sasaran ditetapkan jurulatih.
Beliau berkata pencapaian dan angkatan yang direkodkan sepanjang kem latihan itu, menjadi bekalan penting untuk beliau memberikan tentangan habis-habisan di Glasgow.
“Setakat ini, latihan di Turkiye mencapai sasaran yang ditetapkan jurulatih. Berbekalkan pencapaian dan angkatan yang kami catat di sana, kami membawa momentum itu ke Glasgow untuk memberikan yang terbaik,” katanya yang berada dalam keadaan terbaik menjelang pertandingan esok.
Sementara itu, Mohamad Aniq berkata wakil India dan Sri Lanka sebagai pencabar utamanya, selepas sering berdepan mereka dalam kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Pada edisi Birmingham 2022, Mohamad Aniq yang membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia, selepas menjuarai kategori 55kg lelaki dengan jumlah angkatan 249kg.
Beliau mencatat 107kg dalam snatch sebelum melakukan angkatan 142kg dalam clean and jerk, yang juga rekod temasya, untuk mengatasi wakil India Sanket Mahadev Sargar dengan kelebihan hanya 1kg.
Saingan angkat berat Glasgow 2026 dijadual berlangsung selama lima hari bermula esok di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo, di sini.
-- BERNAMA