Skip to main content

Sukan

Rodtang kembali ke ONE Championship, tandatangani kontrak baharu

Rodtang Jitmuangnon
Kepulangan "The Iron Man" itu menyaksikan beliau kembali ke pentas yang membentuk reputasinya sebagai antara petarung Muay Thai paling digeruni di dunia. -Gambar fail

BINTANG Muay Thai Thailand, Rodtang Jitmuangnon, sah kembali menyertai ONE Championship selepas menandatangani kontrak baharu bersama organisasi seni bela diri terbesar dunia itu, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.

Pengumuman itu dibuat bersempena sambutan hari lahir Rodtang dalam satu sidang media di Gim Jitmuangnon di Nonthaburi, Thailand, yang turut dihadiri pengurusnya, Sorapong Jitsuntorn; Presiden ONE Championship Thailand, Jitinat Asdamongkol; serta wakil pengurusan dan pemilik gimnya.

"Saya tidak fikir ada kerjaya lain yang mampu memberikan saya pengiktirafan serta peluang untuk menyara keluarga seperti menjadi seorang petarung. Saya akan terus memberikan yang terbaik selagi masih mempunyai kudrat untuk bertarung," kata Rodtang.

Kepulangan "The Iron Man" itu menyaksikan beliau kembali ke pentas yang membentuk reputasinya sebagai antara petarung Muay Thai paling digeruni di dunia.

Rodtang sebelum ini dianggap wajah utama ONE Championship selepas menjuarai gelaran dunia Muay Thai kelas flyweight pada 2019 menerusi kemenangan ke atas Jonathan Haggerty sebelum mempertahankannya selama lima tahun.

Gaya bertarung agresif serta keberaniannya menyerap pukulan lawan menjadikan beliau antara atlet paling popular dalam sejarah organisasi itu.

Namun, perjalanan Rodtang mula bergelora apabila beliau dilucutkan kejuaraan pada November 2024 selepas gagal mencapai had berat badan menjelang pertahanan gelaran menentang Jacob Smith.

Walaupun memenangi pertarungan itu menerusi keputusan sebulat suara, kejuaraan kekal kosong kerana hanya Smith layak merebut tali pinggang berkenaan.

Rodtang kemudian kembali mencuri perhatian apabila menumbangkan sensasi Jepun, Takeru Segawa, dalam masa hanya 80 saat pada ONE 172 pada Mac 2025, sebelum tewas menerusi TKO kepada lawan sama dalam aksi ulangan di ONE Samurai 1 pada April lalu.

Tidak lama selepas itu, hubungan antara Rodtang dan ONE semakin keruh apabila pertikaian kontrak menjadi perhatian umum.

ONE memfailkan tindakan undang-undang atas dakwaan pelanggaran kontrak dan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah, manakala Rodtang pula mendakwa beliau berasa dikhianati serta mempersoalkan keadilan perjanjian yang ditandatanganinya.

Bagaimanapun, kemelut itu kini berakhir selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian berhubung pertikaian kontrak yang sebelum ini mencetuskan spekulasi mengenai masa depan antara nama terbesar dalam sukan tempur itu.

 

Must Watch Video

Advertisement