Skip to main content

Malaysia

Kekuatan bangsa bergantung kepada pembentukan insan berilmu, berakhlak - Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 23 Julai -- Isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sijil anugerah kepada Fazilah Hashim dari SMK Dato’ Onn pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat PPD Bangsar/Pudu Tahun 2025 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.  Turut sama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin (kiri) dan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Datu
Isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sijil anugerah kepada Fazilah Hashim dari SMK Dato’ Onn pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat PPD Bangsar/Pudu Tahun 2025 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kekuatan sesebuah bangsa bergantung kepada keupayaan melahirkan insan berilmu, berakhlak dan berkarakter unggul, bukan semata-mata pada kemajuan ekonomi, teknologi serta pembangunan fizikal.

Dr Wan Azizah, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata guru memainkan peranan besar dalam membentuk sahsiah murid kerana sebahagian besar masa anak-anak dihabiskan di sekolah, khususnya di kawasan bandar yang menyaksikan ibu bapa sibuk bekerja.

“Sistem pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi mendidik anak menjadi insan yang berakhlak mulia, berbudi bahasa dan mempunyai hati yang baik. 

“Guru ialah insan yang membentuk aset paling penting negara, iaitu anak-anak kita,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar/Pudu di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam era kecerdasan buatan dan lambakan maklumat, sistem pendidikan perlu terus menekankan pembentukan nilai serta pemikiran kritis agar murid mampu membezakan antara perkara yang benar dan palsu.

Dr Wan Azizah berharap pengiktirafan yang diberikan menjadi pemangkin kepada semua penerima untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, di samping menjadi inspirasi kepada warga pendidik lain dalam memperkukuh agenda pendidikan negara.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) Megat Affandi Ismail.

Majlis APC Tahun 2025 anjuran PPD Bangsar/Pudu dihadiri kira-kira 1,000 tetamu dan menyaksikan sebanyak 746 guru serta pentadbir sekolah daripada 143 sekolah menerima pengiktirafan atas prestasi kerja cemerlang dan komitmen tinggi sepanjang 2025.

Majlis itu bertujuan menghargai sumbangan warga pendidik dan anggota khidmat sokongan dalam memperkukuh kecemerlangan organisasi serta meningkatkan keberhasilan pendidikan di daerah Bangsar/Pudu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement