Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: ‘Perpaduan ummah’ PN-BN atas niat kejahatan, perbalahan - Khalid Samad

PC Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil -- AWANI
Khalid bercakap dalam satu sidang media oleh PH, di sini, pada Khamis. - Foto Astro AWANI

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) menyifatkan naratif ‘perpaduan ummah’ yang dibawa Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebagai bermotifkan kuasa politik berbanding kepentingan rakyat.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, perpaduan merupakan perkara yang murni, namun ia perlu dibina atas asas kebaikan, bukannya untuk mencetuskan perpecahan atau menjatuhkan sebuah kerajaan yang sedang berprestasi cemerlang.

“Persoalan sekarang, adakah perpaduan yang ingin dibina ini atas niat kebaikan dan ketakwaan atau kejahatan dan perbalahan?

“Apabila ia bertujuan untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang jelas berprestasi tinggi, selain dijatuhkan tanpa alasan yang munasabah, maka ia adalah perpaduan yang dibina atas kejahatan dan perbalahan,” dakwa Khalid dalam satu sidang media oleh PH, di sini, pada Khamis.

Tambah Khalid, PH percaya perpaduan sepatutnya dibina bagi menyokong pentadbiran yang berprestasi serta membawa manfaat kepada rakyat, bukannya berasaskan sentimen kaum atau agama.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi, khususnya orang Melayu, supaya tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman sebaliknya menilai rekod pencapaian kerajaan negeri sedia ada.

“Naratif penyatuan Melayu yang dibawa BN dan PN merupakan cabaran utama kepada PH dalam PRN Negeri Sembilan, khususnya selepas melihat corak pengundian pada PRN Johor sebelum ini.

“Namun kini kerjasama mereka itu dapat dilihat secara terbuka, justeru kami yakin pengundi mampu membuat penilaian sewajarnya berdasarkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerjasama mereka ini bukan sahaja cabaran sewaktu pilihan raya tetapi juga merupakan satu ancaman terhadap pembangunan negara bangsa yang bersatu padu,” jelasnya.

Katanya lagi, PH tidak pernah menolak penyatuan Melayu-Islam, sebaliknya mahu perpaduan dibina atas asas yang betul dan melibatkan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“Penyatuan itu bagus, namun bukan untuk melaga-lagakan dan menanam kebencian.

“Kita mahu orang Melayu bersatu, orang Cina bersatu dan orang India bersatu, tetapi atas asas yang mantap untuk membangunkan negara bersama,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement