KANSAS CITY: Ribuan penyokong Belanda memenuhi jalan-jalan di pusat bandar Kansas City dalam satu perarakan besar menjelang perlawanan Piala Dunia menentang Tunisia, sekali gus mencetuskan suasana meriah dengan warna oren yang mendominasi bandar itu.
Perarakan yang dikenali sebagai 'Orange Fanwalk' merupakan tradisi ikonik penyokong skuad Oranje, di mana peminat berarak beramai-ramai sambil menyanyi, menari dan mengibarkan bendera sebagai tanda sokongan kepada pasukan mereka.
Acara tersebut bermula di kawasan 'Power & Light District', sebelum para penyokong bergerak melalui beberapa jalan utama menuju ke lokasi Fan Fest berhampiran Union Station.
Para peserta berpakaian serba oren, warna rasmi pasukan kebangsaan Belanda, mewujudkan suasana seperti festival, dengan muzik, sorakan dan tarian sepanjang perjalanan.
Menurut penganjur, tradisi ini mampu menarik antara 10,000 hingga 15,000 penyokong bagi setiap perlawanan, dengan angka lebih tinggi dijangka di Kansas City.
Pihak berkuasa tempatan mengambil langkah rapi bagi menguruskan kehadiran orang ramai, termasuk menutup beberapa jalan utama serta mengerahkan anggota keselamatan tambahan bagi memastikan perarakan berjalan lancar.
Polis Kansas City turut bekerjasama dengan penganjur dan pihak FIFA untuk mengawal aliran trafik serta keselamatan peserta, memandangkan perarakan ini dijangka antara yang terbesar sepanjang kejohanan setakat ini.
Selain itu, pengangkutan awam dan kemudahan bas turut ditambah bagi memudahkan penyokong bergerak dari pusat bandar ke stadium selepas acara perarakan tamat.
Fenomena 'Orange Fanwalk' menjadi simbol identiti penyokong Belanda di pentas antarabangsa, dengan perarakan serupa turut diadakan di bandar lain seperti Dallas dan Houston sebelum ini.
Bus dua tingkat yang dikenali sebagai 'Oranje Bus' sering menjadi tarikan utama, mengetuai barisan penyokong sepanjang perarakan sambil diiringi muzik dan nyanyian.
Tradisi ini bukan sahaja menarik penyokong Belanda, malah turut menggalakkan peminat bola sepak dari negara lain untuk turut serta dalam suasana penuh keceriaan tersebut.
Perlawanan antara Belanda dan Tunisia yang dijadualkan berlangsung pada waktu malam di Kansas City Stadium menjadi tumpuan utama, dengan kedua-dua pasukan berusaha mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan masing-masing.
Bagi penyokong Belanda, perarakan ini dilihat sebagai cara untuk memberi semangat tambahan kepada pasukan sebelum aksi di padang bermula.