Skip to main content

Sukan

Piala Dunia Taolu: Pasukan wanita negara rangkul emas acara Duilian

Sumber: BERNAMA
Gandingan mantap Lee Jia Rong, Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min mempamerkan persembahan teknikal yang memukau untuk mencatatkan 9.660 mata. - Foto Facebook/Majlis Sukan Negara

KUALA LUMPUR: Skuad wushu kebangsaan terus menyinar di pentas antarabangsa apabila pasukan wanita berjaya merangkul pingat emas dalam acara Duilian pada Kejohanan Piala Dunia Taolu IWUF ke-4 di Haikou, China.

Majlis Sukan Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan gandingan mantap Lee Jia Rong, Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min mempamerkan persembahan teknikal yang memukau untuk mencatatkan 9.660 mata sekali gus mengungguli carta podium.

Kejayaan itu menyaksikan mereka mengatasi pasangan Itali Alessia Tartufoli dan Jasmine Chu yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak walaupun berkongsi mata yang sama.

Pingat gangsa dimenangi oleh wakil Hong Kong Lydia Sham dan Yeung Michelle yang mengumpul 9.653 mata.

Sementara itu, jaguh wushu negara Cheong Min menambah koleksi peribadi apabila meraih pingat gangsa dalam acara Nandao wanita selepas mencatatkan 9.220 mata. 

Acara tersebut dimenangi atlet tuan rumah Zhang Yaling dengan catatan 9.783 mata manakala pingat perak menjadi milik atlet Macau Wong Sam In (9.446 mata).

Pencapaian itu melengkapkan kecemerlangan skuad negara selepas Cheong Min menyumbang pingat emas dalam acara Nangun wanita semalam manakala Pui Yee meraih pingat perak dalam acara Qiangshu.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement