Skip to main content

Sukan

Piala Dunia: Mbappe kecewa Perancis terlalu banyak lakukan kesilapan

France's Kylian Mbappe reacts during a World Cup semifinal soccer match against Spain in Arlington, Texas, near Dallas, Tuesday, July 14, 2026. (AP Photo/Julio Cortez)
Mbappe menunjukkan reaksi kecewa ketika aksi separuh akhir Piala Dunia menentang Sepanyol di Arlington, Texas, berhampiran Dallas. - Foto AP

ARLINGTON: Kapten Perancis, Kylian Mbappe mengakui pasukannya melakukan terlalu banyak kesilapan sehingga gagal menghalang Sepanyol daripada meraih kemenangan 2-0 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia, sekali gus menamatkan impian Les Bleus untuk beraksi di pentas final buat kali ketiga berturut-turut.

Menurut Mbappe, Perancis gagal melaksanakan perancangan permainan dengan berkesan, terutama di bahagian tengah yang dikuasai pemain Sepanyol sepanjang perlawanan.

“Kami bermain tiga lawan dua di bahagian tengah dan menentang Sepanyol, itu sangat sukar. Fabian Ruiz dan Rodri mempunyai terlalu banyak masa untuk mengawal permainan.

“Terdapat kekurangan komunikasi ketika melakukan tekanan ke atas lawan. Saya fikir kami sepatutnya melakukan tekanan satu lawan satu dan memaksa mereka bermain mengikut rentak kami,” katanya.

Perancis turun ke separuh akhir dengan rekod sempurna selepas memenangi enam perlawanan terdahulu dan menjaringkan 16 gol sepanjang kejohanan.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Didier Deschamps itu gagal menampilkan corak permainan menyerang yang berkesan apabila sering kehilangan penguasaan bola dan berdepan kesukaran menembusi benteng Sepanyol.

Sepanyol membuka jaringan menerusi sepakan penalti Mikel Oyarzabal pada minit ke-22 selepas Lucas Digne melakukan kekasaran terhadap Lamine Yamal.

Pedro Porro kemudian menggandakan kelebihan pasukannya sebelum sejam permainan berlangsung untuk memastikan kemenangan 2-0 dan tiket ke final.

Mbappe berkata Perancis sebenarnya merancang untuk memberi tekanan tinggi bagi menghalang Sepanyol menguasai bola, namun usaha itu tidak berhasil apabila lawan berjaya melepasi tekanan tersebut dan kembali mengawal permainan.

“Kami tidak bermain seperti yang kami mahukan, sama ada dari segi teknikal mahupun taktikal.

“Apabila anda tidak melakukan apa yang perlu dilakukan dalam separuh akhir Piala Dunia, anda tidak akan menang,” katanya.

Penyerang Real Madrid itu turut mengkritik mutu permainan pasukannya yang dianggap terlalu banyak melakukan kesilapan teknikal.

“Kami terlalu banyak melakukan kesilapan dari segi teknikal. Kami gagal menghukum mereka ketika peluang itu ada,” katanya.

Deschamps cuba mengubah corak permainan menerusi beberapa pertukaran pemain termasuk memasukkan Desire Doue dan Rayan Cherki pada babak kedua, namun perubahan itu gagal menggugat penguasaan Sepanyol.

Mbappe juga gagal menambah koleksi golnya dalam kejohanan kali ini selepas memasuki perlawanan dengan lapan jaringan.

Walaupun tidak menjaringkan gol, beliau masih berkongsi kedudukan pendahulu penjaring terbanyak kejohanan bersama kapten Argentina, Lionel Messi, dengan lapan gol.

Sebagai kapten pasukan, Mbappe berkata beliau bertanggungjawab terhadap kegagalan Perancis mara ke final.

“Sebagai kapten, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan saya tiada masalah dengan perkara itu.

“Kami mahu ke final, tetapi kami gagal melakukannya,” katanya.

Perancis kini akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga menentang pasukan yang tewas dalam satu lagi aksi separuh akhir antara Argentina dan England yang dijadual berlangsung di Miami Gardens pada Sabtu.
 

Must Watch Video

Advertisement