Skip to main content

Dunia

Sistem pertahanan udara Kuwait bertindak balas terhadap serangan dron

Photograph: Ayal Margolin/Reuters
Tentera Kuwait pada awal Rabu memaklumkan sistem pertahanan udaranya sedang bertindak balas terhadap serangan dron Iran. - Gambar hiasan/Reuters

ISTANBUL: Tentera Kuwait pada awal Rabu memaklumkan sistem pertahanan udaranya sedang bertindak balas terhadap serangan dron Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Tentera itu berkata bunyi letupan yang mungkin kedengaran di beberapa kawasan di negara berkenaan berpunca daripada tindakan sistem pertahanan udara memintas dron yang menghampiri, sambil menggesa orang ramai mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan.

Terdahulu, pihak berkuasa Kuwait memaklumkan anggota bomba berjaya mengawal kebakaran di sebuah lokasi yang menjadi sasaran serangan Iran, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan jenis atau lokasi kemudahan berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Bahrain memaklumkan siren amaran serangan udara telah dibunyikan dan menggesa rakyat serta penduduk supaya bertenang dan menuju ke lokasi selamat terdekat.

Perkembangan itu menyusuli kenyataan Angkatan Pertahanan Bahrain pada Selasa bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan apa yang disifatkannya sebagai “serangan udara khianat Iran”.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berhubung Selat Hormuz semakin memuncak, dengan pasukan AS menyerang Iran manakala Tehran membalas dengan melancarkan serangan terhadap pangkalan tentera AS di seluruh rantau itu. 

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement