Skip to main content

Sukan

Piala Dunia 2026: Sorakan tradisi 'The Viking Row' gamatkan stadium susulan kemenangan Norway

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group I - Norway v Senegal - New York/New Jersey Stadium, East Rutherford, New Jersey, U.S. - June 22, 2026 Norway's Martin Odegaard and teammates perform the traditional Viking rowing celebration for their fans after the match REUTERS/Mike Segar TPX IMAGES OF THE DAY
Video berkenaan memaparkan pemain dan penyokong melakukan gerakan seakan-akan mendayung kapal Viking, sekali gus menggambarkan keserasian erat antara kedua-dua pihak. -Foto X

NEW YORK: Pasukan bola sepak kebangsaan Norway mencipta suasana luar biasa dengan sorakan tradisi “The Viking Row” susulan kejayaan mara ke peringkat 32 pasukan terakhir Piala Dunia 2026.

Keriangan kem Norway itu dikongsi menerusi klip video tular yang dimuat naik oleh akaun pemerhati sukan, World Cup 2026 Daily (@TotalFootball) di platform X.

 

 

Video berkenaan memaparkan pemain dan penyokong melakukan gerakan seakan-akan mendayung kapal Viking, sekali gus menggambarkan keserasian erat di antara kedua-dua pihak.

Suasana bertenaga itu tercetus selepas pasukan dari Scandinavia itu menewaskan Senegal 3-2 dalam aksi Kumpulan I di Stadium New York New Jersey malam tadi.

Penyerang prolifik, Erling Haaland sekali lagi muncul wira apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-48 dan ke-58, menjadikan jumlah jaringan peribadinya empat gol sepanjang kejohanan ini.

Satu lagi gol Norway dijaringkan Marcus Holmgren Pedersen pada minit ke-43, manakala Senegal cuba bangkit menerusi dua jaringan Ismaïla Sarr.

Kemenangan kedua berturut-turut itu melayakkan skuad kendalian Ståle Solbakken ke peringkat kalah mati selepas sebelum ini menewaskan Iraq 4-1 dalam aksi pembukaan.

Namun, Haaland mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terlalu yakin dengan pencapaian tersebut.

Beliau mahu pasukan terus fokus dan menikmati setiap detik kejayaan, memandangkan ini merupakan penampilan pertama Norway di pentas Piala Dunia sejak 1998.

Norway kini berkongsi enam mata dengan Perancis di tangga teratas Kumpulan I dan dijadual bertemu juara dunia dua kali itu pada 26 Jun bagi menentukan juara kumpulan.

 

Must Watch Video

Advertisement