Skip to main content

Sukan

Piala Dunia 2026: 40 tahun selepas magis Maradona, Argentina mahu robek impian England lagi

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Quarter Final - Argentina v Switzerland - Kansas City Stadium, Kansas City, Missouri, U.S. - July 11, 2026 Argentina players pose for a team group photo before the match REUTERS/Amanda Perobelli
Argentina akan menjadikan legenda bola sepak negara itu, Diego Maradona, sebagai sumber inspirasi apabila generasi baharu pemain mereka berusaha mengatasi England sekali lagi dalam aksi separuh akhir Piala Dunia. - Gambar fail Reuters

ATLANTA: Argentina akan menjadikan legenda bola sepak negara itu, Diego Maradona, sebagai sumber inspirasi apabila generasi baharu pemain mereka berusaha mengatasi England sekali lagi dalam aksi separuh akhir Piala Dunia.

Maradona menjaringkan kedua-dua gol Argentina ketika menewaskan England 2-1 pada suku akhir Piala Dunia 1986, termasuk gol solo luar biasa dari kawasan sendiri yang kemudian diiktiraf FIFA sebagai "Gol Abad Ini."

Satu lagi jaringan yang terkenal ialah gol kontroversi "Hand of God", yang sehingga kini terus menjadi salah satu detik paling diingati dalam sejarah perseteruan antara Argentina dan England.

Empat dekad kemudian, kedua-dua negara sekali lagi akan bertemu di pentas Piala Dunia apabila berentap dalam separuh akhir di Atlanta pada Rabu, dengan skuad Argentina yang kini dibarisi bintang seperti Lionel Messi berharap dapat mengulangi kejayaan generasi Maradona.

"Untuk melakukan apa yang Diego lakukan adalah sesuatu yang mustahil. Mungkin hanya Leo yang mampu melakukannya," kata pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister, kepada media pada Selasa.

"Kebelakangan ini banyak klip video mengenainya beredar di media sosial, khususnya dalam beberapa hari terakhir. Ia membantu kami kerana mengingatkan kami tentang betapa besarnya makna Diego kepada negara ini.

"Diego adalah simbol bagi Argentina dan kami berharap dapat mencapai sesuatu seperti yang dilakukan pasukan tahun 1986 itu."

Argentina kemudian muncul juara dunia buat kali kedua pada 1986 selepas pertama kali memenangi trofi berprestij itu pada 1978. 

Mereka juga merupakan juara bertahan dan kini memburu mahkota keempat dalam sejarah negara tersebut.

Walaupun pengalaman beraksi dalam separuh akhir Piala Dunia empat tahun lalu dianggap sebagai kelebihan, Mac Allister menegaskan, ia tidak membawa sebarang jaminan jika Argentina gagal menampilkan prestasi terbaik menentang England.

"Mereka memiliki pemain berkualiti tinggi yang beraksi bersama kelab-kelab besar dan sudah biasa dengan perlawanan seperti ini," katanya mengenai skuad kendalian Thomas Tuchel.

"Pernah bermain dalam separuh akhir Piala Dunia memang satu kelebihan, tetapi ia tidak menjamin apa-apa."

Rakan sepasukan, Gonzalo Montiel, yang turut menjadi sebahagian daripada skuad juara dunia Argentina pada 2022, mengakui England mempunyai pemain bertaraf dunia seperti kapten Harry Kane dan pemain tengah Jude Bellingham yang semakin menyerlah sepanjang kejohanan kali ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan fokus utama Argentina adalah kepada corak permainan sendiri, bukannya memberi terlalu banyak perhatian kepada lawan.

"Mereka mempunyai pemain hebat, tetapi lebih daripada itu mereka adalah sebuah pasukan yang mantap.

"Fokus kami adalah kepada diri sendiri terlebih dahulu. Sudah tentu mereka pemain yang luar biasa.

"Kami sedang membuat persiapan bagi satu lagi perlawanan separuh akhir Piala Dunia dan kami sudah bersedia.

"Impian itu sentiasa ada. Seperti seluruh rakyat Argentina, kami percaya. Kami hanya selangkah lagi untuk mara ke satu lagi final Piala Dunia."

Seperti England, Argentina yang kini berada di ranking kedua dunia FIFA tidak terlepas daripada kritikan sepanjang kempen mereka ke kelompok empat terbaik.

Namun, pemain tengah Rodrigo De Paul berkata beliau dan rakan-rakan sepasukan memilih untuk tidak menghiraukan pandangan luar.

"Saya tidak memberi perhatian kepada pendapat orang lain. Bola sepak memang menarik kerana ia sentiasa mencetuskan perdebatan," katanya.

"Kami sangat gembira dan tenang dengan perjalanan kami dalam Piala Dunia ini serta proses yang telah kami lalui." - Agensi

Must Watch Video

Advertisement