Skip to main content

Sukan

MVP MMA: Ronda Rousey kembali mengganas, tundukkan Gina Carano dalam 17 saat

May 16, 2026; Los Angeles, California, USA; Ronda Rousey (blue gloves) is introduced before fighting Gina Carano (red gloves) in a women's featherweight bout at Intuit Dome. Mandatory Credit: Jayne Kamin-Oncea-Imagn Images
Legenda seni bela diri campuran (MMA) wanita kembali mencuri perhatian dunia apabila Ronda Rousey hanya memerlukan 17 saat untuk menewaskan Gina Carano menerusi kuncian armbar dalam pertarungan bersejarah di acara MVP MMA 1 pada Sabtu. - Foto REUTERS/Jayne Kamin-Oncea-Imagn Images

LEGENDA seni bela diri campuran (MMA) wanita kembali mencuri perhatian dunia apabila Ronda Rousey hanya memerlukan 17 saat untuk menewaskan Gina Carano menerusi kuncian 'armbar' dalam pertarungan bersejarah di acara MVP MMA 1 pada Sabtu.

Pertarungan yang berlangsung di Intuit Dome, California itu menandakan kemunculan semula Rousey ke arena MMA selepas hampir sedekad meninggalkan sukan tersebut, manakala Carano pula kembali beraksi buat pertama kali sejak 2009.

Sejurus loceng dibunyikan, Rousey terus melakukan 'takedown' sebelum pantas mendapatkan posisi atas badan dan tanpa melengahkan masa, terus membuat kuncian armbar ikoniknya sehingga memaksa Carano menyerah kalah dalam masa hanya 17 saat.

Carano dilaporkan tidak sempat melancarkan sebarang pukulan sepanjang pertarungan tersebut.

Kemenangan itu sekali lagi membuktikan mengapa Rousey pernah dianggap wajah utama revolusi MMA wanita dunia.

Bekas juara UFC itu cukup sinonim dengan teknik armbar yang pernah menumpaskan ramai pencabar ketika era kemuncaknya di UFC sekitar 2013 hingga 2015.

Malah, Rousey pernah mencipta rekod submission terpantas dalam perebutan gelaran UFC apabila menewaskan Cat Zingano dalam tempoh 14 saat pada UFC 184.

Ironinya, Carano juga merupakan antara individu paling penting dalam membuka jalan kepada populariti MMA wanita sebelum era UFC.

Bintang kelahiran Texas itu pernah menjadi wajah utama EliteXC dan Strikeforce selain dianggap poster 'poster girl' MMA wanita sebelum beralih ke Hollywood menerusi filem dan siri popular seperti Deadpool, Fast & Furious 6 dan The Mandalorian.

Rousey sendiri sebelum ini pernah mengakui Carano menjadi inspirasi utama beliau untuk menyertai MMA.

Atas sebab ini, pertarungan 'Rousey vs Carano' ini dianggap lebih daripada sekadar perlawanan biasa. Ia sebaliknya merupakan simbol pertembungan dua generasi paling berpengaruh dalam sejarah MMA wanita.

Selain itu, acara ini turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi antara acara MMA utama pertama disiarkan secara langsung menerusi Netflix hasil kerjasama bersama Most Valuable Promotions (MVP).

Lebih menyentuh emosi, Rousey dilaporkan mengumumkan persaraannya sebaik tamat pertarungan tersebut, sekali gus menutup karier legenda beliau dengan kemenangan bergaya dengan menggunakan 'senjata' armbar yang menjadikannya ikon global MMA satu ketika dahulu.

Rousey, 39, mencipta sejarah sebagai juara wanita pertama UFC selepas menyertai organisasi itu pada 2012. Atlet kelahiran Riverside, California tersebut turut memiliki latar belakang judo bertaraf dunia termasuk memenangi pingat gangsa Olimpik Beijing 2008 dalam kategori 70 kilogram.

Sepanjang karier MMA profesionalnya, Rousey merekodkan 12 kemenangan dan dua kekalahan, dengan majoriti kemenangan hadir menerusi teknik kuncian 'armbar' yang menjadi identitinya di dalam sangkar. Beliau juga menamatkan 11 daripada 12 kemenangan profesional dalam pusingan pertama.

Carano pula dikenali sebagai 'Face of Women’s MMA' ketika era Strikeforce dan EliteXC, hasil gabungan kemampuan striking, populariti komersial dan imej arus perdana yang membantu membawa MMA wanita ke perhatian media antarabangsa.

Bekas atlet kickboxing dari Las Vegas berusia 44 tahun itu mencatat rekod profesional tujuh kemenangan dan satu kekalahan sebelum meninggalkan MMA untuk memberi tumpuan kepada dunia lakonan.

Selepas bersara daripada arena kompetitif, Carano muncul dalam beberapa filem Hollywood termasuk Haywire dan siri popular The Mandalorian, manakala Rousey aktif dalam WWE serta filem seperti Fast & Furious 7 dan The Expendables 3.

Pertarungan ini turut dianggap sebagai 'legacy showdown' kerana kedua-dua legenda tersebut kembali beraksi selepas tempoh lama tidak aktif dalam MMA profesional.

Rousey kali terakhir bertarung di UFC pada 2016, sementara Carano tidak lagi bertarung sejak kekalahan kepada Cris Cyborg pada 2009.

Must Watch Video