Skip to main content

Malaysia

Penyelia pasar raya maut pacuan empat roda rempuh tiang jejantas

kemalangan
Seorang penyelia sebuah pasar raya maut selepas kenderaan yang dipandu terbabas dan merempuh tiang jejantas di Kilometer 84, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di hadapan Kolej Vokasional Dungun hari ini.

DUNGUN: Seorang penyelia sebuah pasar raya maut selepas kenderaan yang dipandu terbabas dan merempuh tiang jejantas di Kilometer 84, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di hadapan Kolej Vokasional Dungun di sini hari ini. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata nahas pada 2.05 petang itu menyaksikan Lim Sin Yang, 40, yang memandu pacuan empat roda Toyota Hilux mengalami kecederaan pada bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Beliau berkata kemalangan itu dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Paka ke tempat kerjanya di Jalan Yahaya Ahmad di bandar Dungun. 

"Ketika melalui satu selekoh, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum merempuh tiang jejantas di hadapan Kolej Vokasional Dungun," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jumaidy berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

Must Watch Video