PERANCANGAN jangka panjang Malaysia untuk meningkatkan penggunaan tenaga hijau seperti tenaga solar dan Tenaga Boleh Baharu (TBB) merupakan satu langkah bijak bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga berasaskan fosil.
Langkah peralihan tenaga negara ini merujuk kepada anjakan berstruktur dalam sistem tenaga ke arah sumber tenaga lebih bersih melibatkan anjakan daripada dominasi penggunaan bahan api fosil dengan kadar pelepasan karbon tinggi kepada kadar pengunaan tenaga bersih lebih tinggi dengan intensiti pelepasan karbon lebih rendah.
Peralihan sumber tenaga Malaysia satu langkah strategik jangka panjang
Sektor tenaga sangat penting kepada mana-mana negara kerana ia adalah penggerak utama kepada pertumbuhan ekonomi termasuk Malaysia. Selain menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), sektor tenaga menjadi salah satu sumber pendapatan negara dan merupakan pemboleh daya asas untuk mobiliti orang awam melalui kepelbagaian bekalan bahan api terjamin untuk pengangkutan misalnya.
Selain kepentingannya kepada ekonomi, sektor tenaga juga berdepan tekanan baharu yang semakin kompleks, khususnya dalam konteks global yang tidak menentu. Ketidaktentuan harga minyak dunia akibat konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta kebergantungan kepada import bahan api telah meningkatkan risiko terhadap keselamatan tenaga negara.
Konflik terbaharu Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat dan Iran, meletakkan strategi peralihan negara kepada sumber alternatif benar-benar relevan dan mencerminkan kecekapan pentadbiran melindungi rakyat dan negara.
Dalam situasi ini, Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada sumber tenaga konvensional yang terdedah kepada turun naik harga dan bekalan. Pada 2015 misalnya, kerajaan terpaksa melaksanakan langkah fiskal bagi melindungi rakyat daripada kesan konflik Asia Barat dengan menanggung subsidi sehingga AS$6.7 bilion impak kenaikan bahan api itu.
Subsidi minyak ini bagaimanapun, hanyalah bersifat langkah jangka pendek bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak. Manakala, peralihan kepada sumber tenaga bersih lebih bersifat jangka panjang dan selari dengan usaha melindungi kelestarian sumber tenaga yang diperlukan untuk pembangunan rakyat dan negara.
Selain kerajaan terpaksa menanggung subsidi tenaga yang besar bagi petrol, diesel dan gas cecair asli (LPG), ancaman pandemik seperti dihadapi dunia disebabkan COVID-19 dan masalah perubahan iklim serius memberi kesan kepada harga bahan api seperti yang berlaku dalam tempoh 2019 hingga 2020.
Berdasarkan perancangan masa hadapan Malaysia, evolusi bekalan tenaga utama adalah ke arah peningkatan kelestarian alam sekitar. Langkah untuk menggalak dan meningkatkan penggunaan TBB adalah selaras dengan Dasar Lima Bahan Api yang telah dirangka oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2000.
Ia kemudian diperkemas dengan pelancaran Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 yang mengambil kira perkembangan serta cabaran dalaman dan luaran dihadapi Malaysia demi memastikan sektor tenaga terus membangun dengan mampan.
Visi DTN iaitu Kemampanan Tenaga untuk Mencapai Kemakmuran Bersama disokong oleh 3 objektif iaitu meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga, mencapai kesaksamaan sosial menerusi mampu bayar tenaga serta memastikan kelestarian alam sekitar.
Momentum menggalakkan penggunaan TBB dan tenaga hijau diteruskan dengan pelaksanaan insentif, pembiayaan dan sokongan teknologi seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS), Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM).
GTFS antara lain memberi kemudahan pembiayaan kepada pelabur dan syarikat tenaga hijau bagi meningkatkan daya saing selain penawaran projek-projek berkaitan TBB. CRESS pula membenarkan syarikat swasta memperoleh tenaga hijau secara terus daripada penjana tenaga, manakal CREAM bermatlamat memudahkan komuniti turut serta dalam penggunaan tenaga bersih.
Pelan peralihan tenaga Malaysia menetapkan hala tuju jelas untuk memperluas penggunaan tenaga hijau dan tenaga bersih. Negara mempunyai beberapa jenis sumber TBB yang berpotensi besar seperti tenaga solar, biojisim dan biogas serta tenaga solar dan lain-lain sumber yang masih dikaji untuk dikembangkan penggunaannya seperti tenaga angin.
Sumber seperti tenaga solar, hidro, biojisim dan angin adalah bersifat tempatan serta tidak bergantung kepada pasaran global, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan dan tekanan fiskal akibat subsidi bahan api.
Selain faktor keselamatan tenaga, komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim turut menjadi pemacu utama kepada peralihan ini dengan komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon serta mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.
Langkah ini secara kolektif akan mengurangkan intensiti pelepasan karbon sektor tenaga dan meningkatkan kemampuan kendiri tenaga domestik memandangkan sumber tenaga tidak boleh diperbaharu yang diimport akan digantikan dengan sumber TBB domestik dalam campuran tenaga utama.
Kecenderungan dalam pertukaran bahan api, seperti peralihan daripada kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik (EV)3 akan mengakibatkan penurunan permintaan terhadap produk petroleum dan peningkatan permintaan bagi elektrik. Ini juga dijangka dapat mempengaruhi campuran tenaga utama dan menyumbang kepada peningkatan kelestarian alam sekitar bagi sektor tenaga.
Peranan UMT meneroka potensi sumber tenaga bersih melalui CEFORE
Penerokaan potensi sumber tenaga bersih turut menuntut penglibatan aktif pihak Universiti Awam (UA) terutama bidang penyelidikan terhadap pelbagai potensi dan kelebihan yang dimiliki negara ini. Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memainkan peranan strategik sebagai pemacu penyelidikan, inovasi serta pembangunan modal insan dalam menyokong transformasi tenaga negara ke arah masa depan lebih lestari dan mampan.
Pada September 2025, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama strategik dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) melalui penubuhan Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE) yang merupakan satu model bersepadu pertama di dunia menggabungkan sumber TBB luar pesisir dengan sistem penstoran serta sistem pengurusan tenaga bersih.
CEFORE dibangunkan melalui kerjasama erat antara pihak industri, akademia dan rakan teknologi strategik dengan sokongan syarikat berkaitan tenaga seperti Arema Energies, Schneider Electric, Citaglobal dan Honeywell.
Kolaborasi ini menjadikan CEFORE sebagai model perintis penjanaan TBB luar pesisir yang bukan sahaha berfungsi sebagai pusat penjanaan lestari malah menjadi platform integrasi ilmu, inovasi dan pembangunan kapasiti negara.
Selain matlamat teknikal, CEFORE juga dirangka untuk memberi impak bermakna kepada komuniti. Inisiatif ini akan menyokong peluang ekonomi untuk komuniti setempat seperti penyediaan kemudahan penyimpanan sejuk dan pembuatan ais dikuasakan oleh TBB yang diberikan secara percuma kepada nelayan. Usaha ini diharap dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan komuniti nelayan sambil mengurangkan pergantungan kepada tenaga konvensional.
Fasiliti pembuktian konsep atau proof-of-concept ini terletak di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu bagi menjana TBB yang stabil dan konsisten, berasaskan gabungan tenaga angin luar pesisir, solar dan ombak. Ia turut dilengkapi sistem penstoran tenaga dan sistem pengurusan tenaga di tapak bagi memastikan bekalan berterusan khususnya di kawasan pesisir serta pulau terpencil.
Melalui konsep “Industri dalam Kampus” pula, CEFORE membuka ruang kolaborasi antara penyelidik, pelajar dan pihak industri bagi membangunkan penyelesaian tenaga sebenar yang boleh terus diaplikasikan di lapangan.
Model inovatif ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa perjalanan Malaysia menuju masa depan tenaga mampan, selari dengan dasar peralihan tenagan negara dan aspirasi kelestarian dalam melaksanakan agenda tenaga rendah karbon.
Selain itu, CEFORE juga diilhamkan sebagai hab edu-pelancongan dan pembelajaran awam apabila pengunjung boleh mempelajari mengenai teknologi TBB dan amalan kemampanan.
Seperti diketahui, Malaysia mempunyai kelebihan semula jadi yang signifikan, khususnya dalam tenaga solar, memandangkan kedudukannya di garisan Khatulistiwa yang menerima cahaya matahari sepanjang tahun.
Potensi ini menjadikan tenaga solar sebagai antara sumber paling efektif dan ekonomik untuk dibangunkan secara meluas, sama ada melalui pemasangan di bumbung bangunan, ladang solar berskala besar atau aplikasi luar pesisir.
Impak lain adalah industri tenaga solar turut membuka ruang ekonomi baharu kepada negara memandangkan ia berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, khususnya generasi muda dalam bidang pemasangan solar dan kepakaran TBB.
Setakat ini, projek sistem tenaga campuran di Pantai Tok Jembal ini mampu menjana sekitar 320 kWp tenaga bersih memperlihatkan kejayaan awal CEFORE untuk membekalkan tenaga secara lebih cekap, stabil dan konsisten kepada komuniti maritim.
Teknologi tenaga hibrid dan solar luar pesisir yang dibangunkan ini, dijangka menjadi pemangkin utama dalam mengurangkan kebergantungan terhadap diesel, sekali gus menurunkan kos operasi tenaga dan pelepasan karbon negara dalam jangka panjang. Pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti nelayan tetapi membantu memperkukuh ekonomi maritim.
Pencapaian CEFORE yang memberangsangkan ini, membuktikan bahawa Malaysia semakin bersedia untuk memanfaatkan tenaga hijau sebagai pemacu kesejahteraan rakyat, keselamatan tenaga dan kelestarian negara pada masa hadapan.
Keupayaan universiti mencari jalan dalam penjanaan TBB dilihat sebagai strategi inovatif yang menyumbang kepada peningkatan kesedaran terhadap TBB dan menjadikan sektor ini sangat relevan dan berkembang seiring pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Sebagai penutup, komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon dan mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050 bukan hanya satu janji dari sudut dasar, tetapi satu keperluan utama demi kelestarian masa depan.
Peralihan kepada tenaga hijau bukan sahaja penting dalam mengekang pelepasan gas rumah kaca daripada sektor tenaga, malah menjadi asas kepada transformasi sistem tenaga negara yang lebih bersih dan mampan.
Dalam masa yang sama, pembangunan sektor TBB membuka lembaran baharu kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pelaburan dalam teknologi seperti tenaga solar, sistem penyimpanan tenaga dan grid pintar berupaya merancakkan inovasi tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Usaha ini sekali gus memperkukuh langkah Malaysia ke arah ekonomi berteraskan teknologi dan nilai tambah, sejajar dengan aspirasi pembangunan negara yang lebih progresif dan berdaya tahan.
* Prof. Ir. Ts. Dr Mohd Zamri Ibrahim adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.