Skip to main content

Sukan

Argentina selamat daripada kejutan Cape Verde, mara ke pusingan 16 terbaik

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 32 - Argentina v Cape Verde - Miami Stadium, Miami Gardens, Florida, U.S. - July 3, 2026 Argentina's Cristian Romero celebrates scoring their third goal REUTERS/Paul Childs TPX IMAGES OF THE DAY
Kemenangan dramatik itu menyaksikan Argentina akan berdepan Mesir pada pusingan 16 terbaik selepas wakil Afrika Utara itu menewaskan Australia menerusi penentuan sepakan penalti dalam satu lagi perlawanan pusingan 32 terbaik. -Foto Reuters

MIAMI: Juara bertahan Argentina dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Cape Verde 3-2 menerusi masa tambahan dalam aksi pusingan 32 terbaik di Stadium Hard Rock, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Lionel Scaloni membuka tirai jaringan menerusi kapten pasukan Lionel Messi pada minit ke-29, namun Deroy Duarte menyamakan kedudukan buat wakil Afrika itu pada minit ke-59 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Argentina kembali di hadapan pada minit ke-92 menerusi Lisandro Martínez, tetapi Cape Verde sekali lagi bangkit apabila Sidny Lopes Cabral menjaringkan gol lencongan menarik pada minit ke-103.

Ketika perlawanan dilihat semakin hampir ke penentuan sepakan penalti, Argentina memperoleh gol kemenangan pada minit ke-111 apabila sepakan penjuru Messi disambut Cristian Romero sebelum bola terkena pertahanan Cape Verde, Diney Borges, dan masuk ke gawang sendiri.

Kemenangan dramatik itu menyaksikan Argentina akan berdepan Mesir pada pusingan 16 terbaik selepas wakil Afrika Utara itu menewaskan Australia menerusi penentuan sepakan penalti dalam satu lagi perlawanan pusingan 32 terbaik.

Perjalanan Cape Verde dalam penampilan sulung mereka di Piala Dunia bagaimanapun tetap mencuri perhatian apabila berjaya mengheret juara bertahan itu hingga ke penghujung masa tambahan dalam antara perlawanan paling mendebarkan kejohanan setakat ini.

 

Must Watch Video

Advertisement