Skip to main content

Malaysia

Speedy Tigers sasar mara ke suku akhir Piala Dunia 2026

Tiga Pemain Dipanggil Semula Perkukuh Speedy Tigers Ke Piala Negara-Negara -- FB Malaysian Hockey Confederation
Ahmad Najmi berkata Speedy Tigers hadir dengan persiapan lebih rapi dan keyakinan tinggi untuk menamatkan saingan pada kedudukan lebih baik berbanding edisi lepas. - Gambar fail/Facebook MHC

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan meletakkan sasaran realistik untuk mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Piala Dunia 2026, yang akan berlangsung di Belgium dan Belanda dari 14 hingga 30 Ogos ini.

Pengurus Pasukan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata meskipun diundi dalam Kumpulan B yang dianggap antara paling mencabar, Speedy Tigers kekal optimis mampu mencipta keputusan positif sekali gus memperbaiki pencapaian di tempat ke-13 pada edisi 2023 di Bhubaneswar, India.

“Walaupun kita berada dalam kumpulan yang sukar, tiada apa yang mustahil dalam sukan. Kita lihat dalam Piala Dunia bola sepak, Cape Verde pun mampu mencatat keputusan seri. Pesanan saya kepada pemain adalah supaya bekerja keras dan mematuhi setiap arahan.

“Pada Piala Dunia yang lepas, kita hampir layak ke suku akhir tetapi tewas menerusi penentuan shoot-out. Harapan saya kali ini adalah untuk melihat pasukan melangkah ke suku akhir,” katanya pada sidang media pengumuman skuad negara ke kejohanan itu, di sini hari ini.

Ahmad Najmi berkata Speedy Tigers hadir dengan persiapan lebih rapi dan keyakinan tinggi untuk menamatkan saingan pada kedudukan lebih baik berbanding edisi lepas.

Beliau berkata kejayaan menduduki tempat kelima pada Kejohanan Piala Negara-Negara pada Jun, menjadi suntikan semangat buat skuad bimbingan Brendon Carolan bagi menghadapi kejohanan paling berprestij itu.

“Kami banyak membuat analisis video bersama Coach Brendon, mengenai kesilapan yang dilakukan sebelum ini. Di pentas Piala Dunia, kita tidak boleh melakukan kesilapan mudah,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Jerman, naib juara Belgium serta Perancis.

Sebagai persiapan akhir, skuad negara akan berlepas ke Belgium pada 3 Ogos dan menjalani kem latihan selama enam hari di Kelab Hoki Gantoise, di Gent.

Selepas itu, Speedy Tigers akan mengharungi aksi persahabatan menentang Sepanyol di Wavre pada 13 Ogos, sebelum memulakan kempen Piala Dunia dengan menentang Jerman pada 15 Ogos, diikuti Perancis (17 Ogos) dan tuan rumah Belgium (19 Ogos).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement