KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) kini menggunakan pendekatan baharu dengan menetapkan sasaran pingat emas secara khusus sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) kepada kontinjen dan atlet negara pada temasya sukan utama.
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata pendekatan itu bertujuan memberikan sasaran yang jelas kepada kontinjen dan atlet, terutama ketika negara membuat persiapan sebagai tuan rumah Sukan SEA tahun hadapan.
“Pihak Lembaga Pengurusan MSN di bawah kepimpinan Menteri Belia dan Sukan (Dr Mohammed Taufiq Johari) dalam mesyuarat lembaga yang lepas, telah mengadakan perbincangan panjang berhubung kaedah dan pendekatan penetapan sasaran pingat.
“Pihak Lembaga Pengurusan telah memutuskan bahawa untuk kali ini, memandangkan kita akan menghadapi Sukan SEA tahun depan, kita menetapkan sasaran emas bagi membolehkan KPI yang jelas diberikan kepada kontinjen dan atlet mengenai sasaran perlu dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 di MSN, Bukit Jalil di sini hari ini.
Terdahulu pada sidang media sama, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke temasya Glasgow 2026 Datuk Awalan Abdul Aziz mengumumkan sasaran lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
Sebagai rekod, kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022 mengambil pendekatan berbeza dengan tidak menetapkan sasaran pingat mengikut warna, sebaliknya menyasarkan 27 pingat secara keseluruhan, sebelum pendekatan sama turut digunakan pada beberapa temasya sukan selepas itu.
Sementara itu, Jefri menegaskan temasya Glasgow 2026 yang bermula dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini tetap menjadi tumpuan kontinjen negara meskipun persiapan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September depan diberi keutamaan.
Jefri berkata Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA masing-masing memainkan peranan penting dalam keseluruhan program pembangunan sukan prestasi tinggi negara serta diberikan perhatian sewajarnya.
Menurut beliau, pelantikan Awalan yang merupakan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) sebagai CDM Malaysia ke Glasgow 2026 membuktikan kesungguhan dalam memastikan persiapan kontinjen diuruskan dengan baik.
“Sekiranya kita tidak mengambil berat, kita tidak akan melantik seorang presiden (persatuan sukan kebangsaan) yang berwibawa untuk mengetuai kontinjen. Sebab itu kita menganggap semua temasya sukan ini sebagai temasya yang sangat penting untuk negara,” katanya.
Di Glasgow, sebanyak 59 atlet termasuk 22 atlet para negara akan mengambil bahagian dalam lapan daripada keseluruhan 10 sukan yang dipertandingkan, antaranya renang, berbasikal trek, olahraga, angkat berat dan boling padang, selain enam sukan para yang dipertandingkan secara bersepadu.
-- BERNAMA