Skip to main content

Malaysia

Malaysia ramai tenaga berpengalaman boleh kendali F1 - MAM

KUALA LUMPUR, Jan 16 -- President of Motorsports Association of Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir speak during the media session for MAM Awards Night 2024 held at the hotel today.  -- fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHTS RESERVED
Mokhzani menyifatkan penganjuran semula F1 kali ini sebagai satu "peluang luar biasa" buat Malaysia kerana kos utama penganjuran ditanggung oleh pihak Bahrain. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berdepan masalah kekurangan tenaga kerja mahupun marshal berpengalaman untuk mengendalikan perlumbaan Formula Satu (F1), memandangkan proses akreditasi pegawai sukan berkenaan di negara ini diperbaharui pada setiap tahun.

Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, meskipun kali terakhir Sepang menjadi hos F1 adalah pada 2017, namun ketersediaan petugas teknikal sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Orang berpengalaman di Malaysia ini ramai. Kita akan authorize siapa yang boleh jadi marshal tapi kalau ada kekurangan kita akan bawa tenaga pengajar atau orang yang berpengalaman untuk bagi kursus kepada semua pegawai-pegawai SIC," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau berkata, peranan MAM ketika ini ialah menyelaras pelaksanaan semua peraturan dan piawaian yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), termasuk memastikan aspek keselamatan, kesiapsiagaan litar, peserta serta penonton dipatuhi sebelum perlumbaan F1 boleh dianjurkan.  

"Sebenarnya SIC ini dijaga dengan baik walaupun tiada F1. Jadi semua acara selain F1, MotoGP dan sebagainya memastikan Litar Sepang pada tahap yang baik. Penyelenggaraan sangat baik. Jadi nak guna untuk F1 tidak susah. (Masih) sempat dan ada masa," katanya. 

Mokhzani turut menyifatkan penganjuran semula F1 kali ini sebagai satu "peluang luar biasa" buat Malaysia kerana kos utama penganjuran ditanggung oleh pihak Bahrain.

"Peluang sekarang ini ialah peluang luar biasa. Kerana orang lain yang bayar … kita jadi tuan rumah sahaja.

"Kos memang tinggi untuk dia (Bahrain). Peluang ini datang secara mengejut. Kita mesti memastikan SIC siap sedia menjadi tuan rumah yang sangat baik kerana Bahrain telah beri kepercayaan," katanya.

Terdahulu, F1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Bahrain susulan persetujuan yang dicapai antara F1, FIA serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Acara yang dijadual berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Okt itu akan mengekalkan nama asalnya sebagai F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, tertakluk kepada persetujuan akhir dan kelulusan rasmi, termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 musim 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement