KUALA TERENGGANU: Pelari pecut negara Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, 18, menafikan dakwaan menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat seperti tular di media sosial hari ini.
Sebaliknya anak ketiga daripada empat beradik itu berkata perkara itu hanya melibatkan perbincangan awal antara beberapa pihak dan masih belum ada tawaran rasmi.
Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu berkata ketika ini, dia tidak berhasrat untuk menyambung pelajaran di luar negara mahupun di luar Terengganu, kerana ingin fokus pada beberapa kejohanan sukan penting yang akan berlangsung tahun ini dan tahun depan.
“Sebenarnya seorang kenalan kepada jurulatih saya menawarkan untuk membantu melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Amerika Syarikat, setelah melihat pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan sukan. Tetapi tiada tawaran rasmi atau hitam putih lagi.
“Sejujurnya saya juga tidak berminat untuk belajar di luar negara ataupun luar Terengganu, kerana ia akan menganggu perjalanan karier sukan yang dibina. Saya sangat meminati sukan dan mahu fokus dalam bidang ini dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Izzatul Musfirah berkata walaupun mendapat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau memilih untuk menyambung pelajaran di tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, bagi memudah dan mengimbangi antara rutin latihan sukan dan tumpuan kepada pelajaran.
Beliau berkata setiap perancangan perlu dilaksanakan dengan teliti dan bijaksana agar tidak ketinggalan atau keciciran dalam kedua-dua bidang.
“Saya ada menerima tawaran mengikuti program matrikulasi di Kelantan. Tetapi sudah pasti jadual pelajaran sangat padat dan saya juga perlu menukar perancangan serta jurulatih baharu.
“Langkah paling selamat ialah saya belajar di tingkatan enam, kerana jadual lebih fleksibel dan boleh terus berada di bawah bimbingan jurulatih yang sama. Selepas habis barulah saya fikir untuk sambung pelajaran pada peringkat ijazah,” katanya yang menyasarkan pingat emas untuk kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, yang bakal berlangsung di ibu negara pada Ogos nanti.
Hari ini sebuah portal media sukan melaporkan Izzatul Musfirah menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan memilih untuk meneruskan pengajian ke tingkatan enam kerana SUKMA 2026 serta Sukan SEA 2027 kini menjadi fokus utamanya.
-- BERNAMA