KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan layak untuk menerajui pentadbiran negara bagi penggal kedua selepas berjaya menyelesaikan kemelut yang membelenggu penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara selama 44 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Anwar menghormati keputusan mahkamah serta mengarahkan semua pihak mencari penyelesaian menerusi rundingan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Penyelesaian ini menjadi realiti dan saya berdoa agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dikembalikan semula ke Putrajaya. Anda memang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama di Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Kekal untuk penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di sini hari ini.
Jelas Hannah kini 98 keluarga Rumah Panjang Bukit Kiara bakal menerima dua unit rumah secara percuma menerusi projek perumahan baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Tambahnya, penduduk hanya akan berpindah ke kediaman baharu selepas projek itu siap dibina, manakala rumah panjang sedia ada akan terus didiami sepanjang tempoh pembinaan.
Pada masa sama, Hannah berkata pembangunan dihadkan kepada kawasan seluas 5.76 ekar sahaja, manakala baki tanah akan diserahkan semula kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai kawasan lapang awam.