KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Isnin dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika sentimen terhadap risiko kembali pulih susulan laporan mengenai kemungkinan AS dan Iran memeterai perjanjian damai pada Jumaat ini.
Pada 6 petang, nilai ringgit meningkat kepada 4.0485/0525 daripada 4.0555/0600 apabila urus niaga ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata potensi pemeteraian perjanjian damai AS dan Iran itu ternyata memulihkan sentimen pasaran selain menyuntik sokongan terhadap ringgit.
Perkembangan positif di Asia Barat, terutama prospek rundingan damai antara AS-Iran, telah mencetuskan momentum terhadap sentimen pasaran dengan kedua-dua negara dijangka memeterai memorandum persefahaman perjanjian itu pada 19 Jun, 2026.
“Perjanjian damai itu akan disusuli dengan pembukaan semula Selat Hormuz, sekali gus membolehkan kelancaran pergerakan aliran gas asli cecair (LNG) serta komoditi lain seperti aluminium dan urea,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata jangkaan pemulihan bekalan minyak turut meningkatkan semula minat risiko dalam kalangan peniaga dan pelabur.
“Ini juga menjurus kepada penyederhanaan inflasi apabila bank-bank pusat global berkemungkinan enggan memperketat dasar monetari selanjutnya,” katanya.
Selain itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain pada akhir urus niaga hari ini.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5283/5309 daripada 2.5334/5364 pada penutupan Jumaat lepas, naik berbanding pound Britain kepada 5.4355/4409 daripada 5.4429/4489, namun susut berbanding euro kepada 4.6987/7033 daripada 4.6979/7031.
Dalam kelompok mata wang serantau, ringgit sebaliknya diniagakan kebanyakannya rendah.
Ini termasuk susut berbanding baht Thailand kepada 12.4294/4474 daripada 12.4105/4288 sebelum ini, rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 228.5/228.9 daripada 227.0/227, merosot berbanding peso Filipina kepada 6.69/6.70 daripada 6.67/6.68 namun mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1580/1613 daripada 3.1602/1640.
-- BERNAMA