Skip to main content

Malaysia

F1 kembali ke Malaysia tanpa yuran pendaftaran, kerajaan hanya tanggung kos baik pulih trek RM16 juta

GEMAS, 27 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut PM Anwar, yuran pendaftaran yang sebelum ini mencecah ratusan juta ringgit telah dihapuskan, sekali gus membolehkan Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan berprestij itu dengan kos yang jauh lebih rendah. - Foto BERNAMA

GEMAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan penganjuran semula perlumbaan Formula 1 (F1) di negara ini tidak dikenakan bayaran yuran pendaftaran kepada Fédération Internationale de l'Automob (FIA).

Sebaliknya, kerajaan hanya perlu menanggung kos baik pulih Litar Antarabangsa Sepang Petronas (SIC) yang dianggarkan sekitar RM16 juta bagi memenuhi spesifikasi perlumbaan sukan permotoran itu.

Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa menerusi panggilan telefon yang diterimanya pada Ahad.

Katanya, yuran pendaftaran yang sebelum ini mencecah ratusan juta ringgit telah dihapuskan, sekali gus membolehkan Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan berprestij itu dengan kos yang jauh lebih rendah.

“Maka, F1 semalam telefon saya maklumkan bayaran awal nak (kena) bayar kepada FIA, dia (F1) kata hapus, tak perlu bayar (yuran pendaftaran) dan kita anjur percuma, bayangkan orang lain anjur, dia belanja ratusan juta atau satu bilion ringgit minimum.

“Kalau ada sedikit perbelanjaan pun untuk baiki trek litar SIC yang sekarang ni guna untuk kenderaan dan sebagainya, motosikal dan lain-lain, itu diperbaiki sedikit sahaja saya jangka dalam RM 16 juta.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Gemas, Kem Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.

Anwar berkata, beliau pada awalnya berhati-hati menerima cadangan berkenaan mengambil kira kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan bagi kebajikan rakyat seperti kos sara hidup dan perumahan.

Namun, beliau meminta rundingan dilakukan supaya kos penganjuran dapat dikurangkan sebelum usaha itu akhirnya berjaya apabila pihak F1 bersetuju menghapuskan bayaran pendaftaran yang sebelum ini mencecah ratusan juta ringgit.

"Semalam, Raja Bahrain bersetuju muktamad melalui Perdana Menteri dalam hubungan telefon saya mengesahkan Formula 1 akan dijalankan di Malaysia dalam tempoh dua bulan.

"Tapi Bahrain dan dunia, termasuk Arab tahu prestasi kita dalam negara mengurus ASEAN tahun lalu itu di antara yang terbaik yang pernah ASEAN anjurkan selama ini," tambahnya.

Menurut beliau, Malaysia dipilih daripada puluhan negara lain susulan faktor kestabilan negara, pengurusan yang cekap serta kemudahan infrastruktur yang baik, selain hubungan akrab antara Raja Bahrain dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

"Saudara bayangkan tentunya hubungan baik Raja Bahrain dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim membantu (kerana) kalau negara ini tidak aman, tak ada orang nak datang sepatutnya (F1) di Bahrain.

"Tapi oleh kerana kesan peperangan Amerika dan Israel...Malaysia dipilih, ada puluhan lebih negara yang diteliti oleh mereka. Pertama, harus aman. Kedua, urusannya baik dan cekap. Ketiga, infrastrukturnya lebih baik," tambahnya.

 

Must Watch Video

Advertisement