Skip to main content

Malaysia

'Demam' Piala Dunia hidupkan suasana Masjid Al Falah USJ 9

Suasana Jom Qiam & Layan Bola jam 3 pagi tadi..  Canada 1 VS 1 Bosnia. Nice Game.._FB Masjid Al-Falah USJ 9
Bagi memastikan aktiviti menonton tidak mengganggu jemaah yang beribadah di ruang solat utama, perlawanan ditayangkan di dewan makan masjid yang dikenali sebagai ‘World Cup Corner’. - Facebook Masjid Al Falah USJ 9

PETALING JAYA: Biasanya, restoran mamak menjadi pilihan peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan pasukan kegemaran mereka, dan pada musim Piala Dunia lokasi berkenaan sememangnya cukup meriah.

Namun, pada kejohanan Piala Dunia kali ini, peminat sukan itu, khususnya di kawasan sekitar Subang Jaya, Selangor ada pilihan lain, iaitu Masjid Al Falah USJ 9, yang membawa kemeriahan tersebut ke perkarangan masjid menerusi program “Jom Qiam & Layan Bola”. 

Menggabungkan minat pada bola sepak dengan pengisian kerohanian, program anjuran jawatankuasa pengurusan masjid menerusi biro pemudanya di bawah jenama Al-Falah Youth, menawarkan pengalaman unik kepada anak muda “kaki bola” khususnya.

Selain menonton perlawanan secara berkumpulan, peserta turut mengikuti qiamullail, tazkirah, solat sunat dan solat berjemaah, sekali gus menjadikan malam bola sepak lebih bermakna.

Nazir Masjid Al Falah Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, idea program tersebut lahir daripada pemerhatiannya terhadap budaya peminat bola sepak yang gemar berkumpul beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan.

Sebagai seorang peminat sukan itu sendiri, beliau melihat minat yang dikongsi ramai anak muda boleh dimanfaatkan sebagai platform untuk mendekatkan mereka dengan institusi masjid dalam suasana santai dan mesra.

“Daripada kita biarkan anak-anak muda berkumpul di luar hingga lewat malam untuk menonton bola sepak, lebih baik kita sediakan ruang di masjid yang bukan sahaja membolehkan mereka menikmati perlawanan, tetapi turut mengisi masa dengan ibadah.

“Kita tidak menjadikan bola sepak sebagai fokus utama, sebaliknya menjadikannya pintu masuk untuk membawa mereka lebih dekat dengan masjid,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Bagi memastikan aktiviti menonton tidak mengganggu jemaah yang beribadah di ruang solat utama, perlawanan ditayangkan di dewan makan masjid yang dikenali sebagai ‘World Cup Corner’ dengan penyediaan makanan dan minuman percuma serta kuiz berhadiah seperti jersi dan bola sepak.

Syed Zainal Abidin yang juga Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berkata pendekatan yang digunakan sengaja dirancang secara santai tanpa pengisian yang terlalu berat, khususnya bagi memberi peluang kepada golongan muda membiasakan diri dengan suasana masjid.

 

“Kita mulakan dengan perkara yang ringan dahulu dan apa lebih penting anak-anak ini hadir, mengenali masjid, menjaga adab dan bersama-sama menunaikan solat berjemaah.

“Apabila mereka sudah selesa dengan persekitaran masjid, lebih mudah untuk kita membawa mereka kepada pengisian yang lebih mendalam pada masa depan,” katanya.

Program lazimnya dimulakan kira-kira 30 minit sebelum sepak mula menerusi tazkirah ringkas dan solat sunat, diikuti sesi menonton perlawanan yang berlangsung hingga awal pagi sebelum peserta berkumpul untuk menunaikan solat subuh berjemaah.

Menariknya, waktu rehat perlawanan turut dimanfaatkan dengan aktiviti kerohanian seperti solat sunat, perkongsian ringkas dan sesi interaksi sesama peserta sebelum tontonan diteruskan.

Menurut  beliau, sambutan  yang diterima membuktikan program berasaskan sukan mempunyai potensi besar sebagai medium mendekatkan golongan muda dengan masjid serta mengukuhkan hubungan komuniti, termasuk keluarga dan bukan Islam yang ingin melihat sendiri peranan masjid sebagai ruang komuniti yang aktif dan inklusif.

Pada masa sama, Syed Zainal berharap lebih banyak masjid dapat meneroka pendekatan kreatif yang sesuai dengan keperluan semasa tanpa mengetepikan fungsi utamanya sebagai pusat ibadah dan pembangunan ummah.

“Masjid perlu  terus relevan serta menjadi ruang yang mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk keluarga dan bukan Islam yang ingin melihat sendiri peranan masjid sebagai ruang komuniti yang aktif dan inklusif,” kata tokoh korporat yang pernah menerajui PERODUA Auto Corporation Sdn Bhd dan juga Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Bhd itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement