KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa dalam sejarah Islam, ilmu tidak pernah dipisahkan daripada tanggungjawab sosial, sebaliknya menjadi asas penting kepada pembinaan tamadun, sistem pentadbiran serta kemajuan ekonomi.
Beliau berkata melalui penguasaan ilmu, umat Islam pada zaman silam berjaya membangunkan institusi madrasah, membentuk sistem pemerintahan yang tersusun, memacu perkembangan perdagangan serta melahirkan peradaban yang gemilang.
“Sejarah membuktikan bahawa ilmu bukan sekadar untuk diketahui, tetapi untuk diaplikasikan dalam membina masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena The 4th Edition Southeast Asian Scholars Conference 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Menurut Ahmad Zahid, ilmu tidak seharusnya kekal terhad dalam ruang seminar, jurnal akademik atau perbincangan ilmiah semata-mata.
Sebaliknya, beliau menegaskan ilmu perlu diterjemahkan untuk membimbing masyarakat, membantu pembuat dasar dan menjawab persoalan umat dengan kebijaksanaan serta keberanian intelektual.
“Dalam dunia hari ini, masyarakat mencari panduan dalam pelbagai ruang baharu termasuk media sosial, platform digital, kecerdasan buatan dan perbahasan dasar awam.
“Dalam persekitaran ini, ilmu bukan sahaja perlu menjelaskan, tetapi juga mesti berupaya membimbing,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa masyarakat kini berdepan lambakan maklumat, namun pada masa sama mengalami kekurangan hikmah dalam menilai dan menggunakannya.
“Kita hidup dalam era data yang semakin bertambah, tetapi hikmah semakin menjauh. Di sinilah peranan para ilmuwan amat penting untuk menukar maklumat kepada kefahaman, kefahaman kepada hikmah, dan hikmah kepada tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada keluasan ilmu, namun ia perlu ditangani dengan adab al-ikhtilaf atau etika dalam berbeza pendapat.
Beliau menjelaskan perbezaan pendapat harus diraikan tanpa menimbulkan permusuhan, perbahasan dilakukan tanpa merendahkan pihak lain dan usaha mencari titik persamaan harus dilaksanakan tanpa menggadaikan prinsip.
“Kesepaduan intelektual tidak bermaksud menyeragamkan semua pandangan, tetapi membina kerangka nilai bersama dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya.