CHUKAI: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di Sungai Air Puteh di bawah jambatan Seberang Tayor, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat berkenaan oleh orang awam pada 6 petang.
Beliau berkata hasil siasatan dan pengecaman awal mendapati mangsa adalah penduduk tempatan.
"Hasil pemeriksaan fizikal ke atas mayat berkenaan mendapati tiada kesan serta unsur perbuatan jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA