Skip to main content

Dunia

Trump akui minta ketua FIFA semak semula kad merah penyerang AS Balogun

Sumber: REUTERS
Minggu lepas, Balogun (kiri) dilayangkan kad merah selepas mengasari Tarik Muharemovic. Trump (kanan) mengesahkan pada Isnin beliau telah bercakap dengan Infantino untuk meminta semakan semula terhadap kad merah itu.

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesahkan pada Isnin beliau telah bercakap dengan Presiden FIFA Gianni Infantino untuk meminta semakan semula terhadap kad merah yang dilayangkan kepada penyerang AS, Folarin Balogun pada perlawanan Piala Dunia minggu lepas, sambil menyatakan beliau tidak percaya kekasaran telah berlaku, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Saya meminta semakan semula kerana saya tidak fikir ia adalah satu kekasaran," kata Trump kepada pemberita di White House.

"Jadi, ya, saya meminta semakan semula oleh FIFA. Saya telah bercakap dengan seorang lelaki yang amat dihormati."

Minggu lepas, Balogun dilayangkan kad merah secara terus selepas mengasari pemain Bosnia dan Herzegovina, Tarik Muharemovic, dalam perlawanan pusingan 32 yang menyaksikan AS menang 2-0.

FIFA mengumumkan pada Ahad bahawa penggantungan Balogun telah ditangguhkan bagi tempoh percubaan selama satu tahun, sekali gus membenarkan penyerang berusia 25 tahun itu beraksi dalam perlawanan pusingan 16 menentang Belgium di Seattle pada Isnin.

Persekutuan Bola Sepak Belgium pada Ahad menyatakan bahawa mereka "terkejut" dengan keputusan FIFA yang membenarkan Balogun beraksi dalam perlawanan menentang skuad kebangsaan Belgium itu, di sebalik kad merah yang diterimanya pada pusingan terdahulu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement