ISTANBUL: Microsoft akan mengurangkan 4,800 pekerjaan, atau kira-kira 2.1 peratus daripada jumlah tenaga kerjanya, langkah yang diambil oleh gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu bagi mengurangkan kos dan menstruktur semula perniagaan permainan video Xbox, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Langkah pemberhentian pekerja itu menyusul selepas Microsoft melancarkan program persaraan sukarela pada April lepas, yang merupakan program seumpamanya yang pertama dalam sejarah syarikat berkenaan.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Microsoft, Amy Coleman dalam satu mesej dalaman memberitahu kakitangan bahawa teknologi kini "dibina, dikerahkan dan digunakan" dengan lebih pantas berbanding bila-bila masa sepanjang 27 tahun beliau berkhidmat di syarikat itu.
Bahagian Xbox syarikat berkenaan akan merangkumi sebahagian besar daripada pengurangan itu, melibatkan 3,200 pekerjaan yang bakal dikurangkan menjelang tahun kewangan 2027, termasuk 1,600 jawatan pada Isnin, menurut e-mel berasingan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Xbox, Asha Sharma kepada kakitangan.
Pengurangan berkenaan dilaporkan mewakili kira-kira satu perlima daripada keseluruhan tenaga kerja Xbox.
Sharma berkata, bahagian itu akan "kembali mencatatkan pertumbuhan pada 2027," sambil mengakui bahawa proses penstrukturan semula yang mengambil masa setahun itu akan mencetuskan cabaran tambahan kepada para pekerja.
Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula itu, Microsoft akan memisahkan empat studio permainan video di bawah naungannya.
Compulsion Games dan Double Fine Productions, yang diambil alih oleh Microsoft pada era 2010-an, akan kembali beroperasi secara bebas, manakala Ninja Theory dan Undead Labs telah menandatangani terma untuk menyertai pemilikan baharu, menurut nota Sharma.
Arkane Studios yang berpangkalan di Perancis, menjadi sebahagian daripada Microsoft menerusi pengambilalihan ZeniMax Media bernilai US$8.1 bilion pada 2021, kini sedang berunding dengan majlis kerja syarikat itu mengenai pilihan strategik mereka.
Coleman berkata, perniagaan komersial Microsoft, yang memfokuskan kepada jualan kepada pelanggan, turut terkesan dengan pengurangan pekerja berkenaan.
Syarikat itu menyatakan bahawa lebih satu pertiga daripada pekerja yang layak telah menerima tawaran persaraan sukarela itu, yang menyasarkan kakitangan di AS pada peringkat pengarah kanan dan ke bawah.
Saham Microsoft dilaporkan susut 19 peratus pada tahun ini setakat penutupan pasaran pada Jumaat, menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan berbanding syarikat teknologi utama yang lain, ekoran kebimbangan pelabur terhadap strategi kecerdasan buatan (AI) syarikat serta prestasi yang lebih lemah dalam beberapa segmen termasuk lesen Windows, peranti Surface dan Xbox.
Coleman berkata, AI sedang mengubah cara tugasan kerja dilaksanakan, namun ia tidak menggantikan secara langsung pekerja yang terkesan oleh pemberhentian berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU