PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki dilindungi mengikut undang-undang antarabangsa, susulan beberapa insiden yang mengorbankan dan mencederakan kanak-kanak.
Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata, pihaknya amat bimbang terhadap keselamatan dan kebajikan penduduk di Tebing Barat, khususnya kanak-kanak.
Menurut beliau, seorang remaja Palestin berusia 16 tahun ditembak mati oleh tentera Israel di Kem Qalandia, berhampiran Baitulmaqdis, pada Ahad.
Dalam kejadian sama, dua lagi kanak-kanak dilaporkan cedera selepas ditembak pada bahagian kaki.
"Ini sekali lagi menjadi peringatan bahawa rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki mesti dilindungi, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.
"Dan mereka yang melakukan pelanggaran mesti dipertanggungjawabkan," katanya pada satu sidang media di New York pada Isnin.
Dalam perkembangan berasingan, PBB turut memaklumkan seorang bayi Palestin berusia empat bulan, Ahmed Marouf Zaid, meninggal dunia di wilayah Ramallah selepas akses mendapatkan rawatan perubatan dilaporkan tertangguh.
Four-month-old Ahmed Marouf Zaid died yesterday after Israeli soldiers refused to open a gate blocking the main entrance to his village west of Ramallah, delaying his access to urgent medical care. An ambulance was waiting on the other side.
"Last month, 7-month-old Sam Abu…— UN Human Rights Palestine (@OHCHR_Palestine) July 6, 2026
Menurut laporan pasukan hak asasi manusia PBB, tentera Israel didakwa enggan membuka pintu pagar yang menutup laluan utama ke kampung bayi itu, menyebabkan ambulans yang menunggu di seberang tidak dapat memberikan bantuan dengan segera.
PBB berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan di Tebing Barat yang menyaksikan ketegangan berterusan.