Skip to main content

Malaysia

PRN Johor: 24,751 pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini

Sumber: BERNAMA
- Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Sebanyak 24,751 pengundi awal yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan melaksanakan amanah mereka di 64 pusat mengundi yang diwartakan di seluruh negeri, hari ini. 

Pengundi awal bagi PRN Johor kali ini terdiri daripada 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan serta 12,710 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan. 

Daripada keseluruhan pengundi awal PDRM, sebanyak 12,067 individu dijadualkan mengundi secara fizikal hari ini, manakala 643 menunaikan tanggungjawab menerusi undi pos.

Sebanyak 53 pusat mengundi awal bagi PDRM, manakala 11 lagi untuk ATM yang akan dibuka serentak 8 pagi ini, dengan waktu penutupan dilakukan secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang, bergantung kepada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.

Beberapa pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih kecil seperti Balai Polis Tenang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang (enam pengundi), dan Balai Polis Bukit Besar bagi DUN Pasir Raja (11 pengundi) dijangka menamatkan operasi seawal 12 tengah hari.

Sementara itu, pusat mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Balai Polis Kahang (DUN Kahang) dan IPD Johor Bahru Utara dijadualkan ditutup pada 6 petang.  

Bagi menjamin kelancaran proses pengundian, PDRM telah mengatur gerak kesiapsiagaan 3,565 petugas merangkumi 647 pegawai, 2,806 anggota serta 112 pegawai awam untuk pemantauan menyeluruh di lapangan.

Penugasan itu meliputi kawalan keselamatan di pusat mengundi, pengiringan peti undi, pengurusan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah, penugasan di bilik gerakan, pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang di semua kawasan terlibat.

Semua peti undi awal akan disimpan di balai-balai polis yang ditetapkan dan hanya akan dibuka untuk pengiraan selepas tamat waktu pengundian biasa pada Sabtu ini.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon yang merebut 56 kerusi DUN dengan pengundian bagi 2.7 juta pemilih ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement