Skip to main content

Dunia

Tom Cruise, Jennifer Hudson antara bintang meriahkan penutupan Piala Dunia 2026

Sumber: INSTAGRAM
Pelakon Tom Cruise (kiri) dijadualkan membuat penampilan dalam acara di stadium East Rutherford, New Jersey, manakala Jennifer Hudson, pula akan menyanyikan lagu kebangsaan AS sebelum final berlangsung.

NEW YORK: Penyanyi Laura Pausini, Nicole Scherzinger dan Robbie Williams serta pempengaruh YouTube IShowSpeed akan membuat persembahan pada upacara penutupan menjelang final Piala Dunia Ahad ini, menurut badan induk bola sepak dunia FIFA, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

FIFA pada Selasa memaklumkan, pelakon Tom Cruise turut dijadualkan membuat penampilan dalam acara di stadium East Rutherford, New Jersey, yang akan mengimbau kembali kejohanan membabitkan 48 pasukan di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada sejak bermula pada 11 Jun.

Upacara itu dijadualkan bermula 90 minit sebelum sepak mula perlawanan akhir pada 3 petang waktu tempatan (1900 GMT).

Pemenang anugerah Oscar, Grammy, Emmy dan Tony, Jennifer Hudson, pula akan menyanyikan lagu kebangsaan AS sebelum final berlangsung, menurut FIFA.

Perlawanan akhir itu turut menampilkan persembahan separuh masa buat julung kali dalam sejarah final Piala Dunia.

Madonna, Shakira, Justin Bieber, Coldplay dan kumpulan K-pop BTS adalah antara barisan artis yang diumumkan beberapa minggu lepas bagi persembahan selama 11 minit itu.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement