Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Rehat hidrasi ganggu rentak permainan - Jurulatih Argentina

71670985073_LionelScaloni.jpg
Scaloni berkata, tiada perlawanan yang mudah, terutamanya pada peringkat kumpulan. - Gambar fail/ AP

SYDNEY: Jurulatih Argentina Lionel Scaloni berkata bahawa "tiada perlawanan yang mudah" dalam Piala Dunia dan menyenaraikan rehat hidrasi yang diperkenalkan baru-baru ini sebagai antara faktor yang menjadikan keadaan lebih sukar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Juara dunia itu sedang membuat persiapan untuk menghadapi perlawanan kedua peringkat kumpulan menentang Austria pada Isnin selepas memulakan kempen kejohanan dengan kemenangan 3-0 ke atas Algeria menerusi hatrik Lionel Messi.

"Tiada perlawanan yang mudah, terutamanya pada peringkat kumpulan. Dari segi sejarah dan kini dengan format 48 pasukan, peringkat kumpulan sememangnya sentiasa sukar.

"Kini ditambah pula dengan keadaan cuaca panas dan rehat hidrasi. Permainan sentiasa dihentikan," kata Scaloni dalam sidang media pada Ahad.

Badan induk bola sepak dunia, FIFA memperkenalkan rehat hidrasi berikutan kebimbangan terhadap beban fizikal yang ditanggung pemain. Bagi setiap separuh masa, pengadil sepatutnya menghentikan permainan selama tiga minit selepas 22 minit perlawanan berlangsung.

Format itu secara berkesan menjadikan setiap perlawanan dimainkan dalam format empat suku masa berbanding dua separuh masa, sesuatu yang sudah biasa bagi rakyat Amerika Syarikat menerusi sukan seperti bola keranjang dan bola sepak Amerika.

"Pada akhirnya, ia dilakukan untuk memberi lebih banyak masa, tetapi ia menjejaskan rentak permainan. Ia menjadi empat suku permainan, kemudian ketika rehat separuh masa kami hanya mempunyai tiga minit untuk bercakap dengan pemain antara waktu mereka masuk dan kembali ke padang. Konsep "empat tempoh permainan" itu memang benar-benar berlaku," kata Scaloni.

"Rasanya agak pelik untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan, sama seperti penambahbaikan lain. Buat masa ini, ia terasa janggal kerana kelancaran permainan kerap terganggu."

Beberapa jurulatih bagaimanapun memberikan penilaian positif terhadap tempoh rehat berkenaan kerana ia memberi mereka peluang untuk mempengaruhi corak permainan dengan lebih berkesan.

Argentina mendahului Kumpulan J di hadapan Austria, namun kedua-dua pasukan berkongsi tiga mata.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement